Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LHDN mohon penghakiman terus dalam kes saman cukai terhadap Shafee
Diterbitkan:  Sep 28, 2021 7:21 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon agar kes samannya terhadap peguam, Muhammad Shafee Abdullah bagi menuntut tunggakan cukai berjumlah RM9.41 juta diputuskan melalui penghakiman terus.

LHDN mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Di bawah undang-undang sivil, penghakiman terus membolehkan mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh.

Melalui permohonan berkenaan, LHDN berpendapat bahawa peguam tidak mempunyai pembelaan terhadap saman cukai berkenaan sehingga ia memerlukan perbicaraan penuh.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, penolong pengarah Unit Kawalan LHDN Shamsul Effendi Khamis mendakwa Notis Taksiran Tambahan bagi tempoh antara 2011 hingga 2016 telah diserahkan kepada Shafee.

Dia juga berpendapat bahawa Shafee tidak menyatakan sebarang sebab berhubung tuntutan balas oleh peguam berkenaan terhadap LHDN.

Melalui pernyataan pembelaan dan tuntutan balas yang dikemukakan pada 11 Ogos, Shafee menafikan tuduhan LHDN berhubung notis taksiran terhadapnya bagi tempoh 2011 hingga 2016.

Peguam itu mendakwa taksiran cukai itu bukan sahaja tidak tepat tetapi juga melanggar undang-undang dan mala fide (berniat jahat).

Shafee mendakwa saman dan taksiran cukai itu merupakan serangan berterusan terhadapnya kerana mewakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

Shafee merupakan peguam bela utama Najib dalam kes berkaitan 1MDB.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS