Kerajaan mesti mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan memfokuskan kepada pengagihan kekayaan bumiputera dan bukannya mengenai jumlahnya, kata ahli Akademik Dr Lim Teck Ghee.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengumuman kerajaan Selasa lalu bahawa setakat 31 Disember 2006, bumiputera memiliki 36.64 peratus saham di papan utama dan kedua Bursa Malaysia.

Lim adalah antara mereka yang menjalankan kajian mengenai pengagihan ekuiti korporat oleh Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli).

Kajian tersebut bercanggah dengan penegasan kerajaan bahawa pemilikan ekuiti korporat bumiputera masih di tahap 18.9 peratus. Berikutan itu, Asli menjadi sasaran kritikan hebat pemimpin Umno .

"Laporan itu bukan hanya mengenai saham bumiputera sama ada 18.9 peratus, 36.6 peratus atau 45 peratus," kata Dr Lim ketika dihubungi semalam.

"Ianya lebih mengenai perlunya kerajaan menamatkan atau mengkaji semula dasar yang berorientasikan kaum dalam kes ini mengenai pengagihan ekuiti korporat yang telah lama dicapai tujuannya dan tidak lagi perlu atau dipertahankan," tambahnya.

Realiti sebenar

Walaupun kerajaan mendedahkan angka terbaru dan berusaha untuk menjelaskan metodologi perkiraan yang digunakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Dr Lim berkata, banyak persoalan mengenai pengagihan kekayaan yang masih perlu dijawab.

"Pada pendapat saya dan ramai lagi cendiakawan bebas yang lain metodologi anggaran pendapatan dan kemiskinan ada kecacatannya; tahap kemiskinan sekarang, sebagai contohnya, dibuat berdasarkan kepada isirumah dan bukannya pendapatan individu.

"Oleh itu, kita nampak baik dalam rekod pembasmian kemiskinan. Tetapi kita maksud saya, orang yang bertanggungjawab gagal melihat realiti sebenarnya," tambahnya.

Menurut Dr Lim lagi, ini dan metodologi EPU dalam menentukan pemilikan ekuiti bumiputera, antara lain, tidak lagi boleh digunakan sekarang, berbanding ketika DEB digubal tiga dekad yang lalu.

Dr Lim, yang mengetuai Pusat Kajian Dasar Awam, Asli itu, meletakkan jawatan selepas Presiden Asli menarik balik laporan kajian tersebut.

Rakyat keliru

Sementara itu, seorang ahli akademik yang kini menjadi ahli politik, Dr Toh Kin Woon berkata, pengumuman angka kerajaan Selasa lalu itu telah menimbulkan kekeliruan mengenai definasi tentang ekuiti bumiputera.

"Saya beranggapan yang kerajaan hanya mengambil berat tentang ekuiti bumiputera dalam syarikat tersenarai. Kini, ia turut memasukkan lebih 600,000 syarikat lagi.

Toh, bekas pensyarah ekonomi, berkata adalah penting kerajaan mendedahkan lebih banyak fakta untuk membantu orang ramai memahami isu tersebut.

Beliau juga bersetuju dengan Dr Lim mengenai perlunya kerajaan memberi fokus yang lebih terhadap pengagihan kekayaan.

"Pengagihan pendapatan adalah lebih penting (bagi kerajaan) kerana pemilikan ekuiti semata-mata tidak tepat untuk mencerminkan kekayaan kaum etnik tertentu. Apa yang perlu ditangani ialah merapatkan jurang antara 20 peratus tertinggi dengan 40 peratus terbawah.

"Lagi pun, pemilikan saham hanya tertumpu di tangan segelintir sahaja," tambah Toh.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Ramon Navaratnam memuji langkah kerajaan mengumumkan butiran mengenai pemilikan ekuiti bumiputera.

"Saya percaya masih banyak yang perlu dilakukan untuk mendefinasikan metodologi dan ruanglingkup liputan untuk memperhalusi lagi angka tersebut," kata Ramon ketika dihubungi. Berita asal