Ayah saya makin pulih, kata Mirzan
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dari serangan jantung ringan yang dialaminya awal pagi semalam, kata anaknya, Mirzan Mahathir.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dari serangan jantung ringan yang dialaminya awal pagi semalam, kata anaknya, Mirzan Mahathir.
"Dia berada dalam keadaan baik, kami yakin dia akan keluar dari hospital tidak lama lagi," katanya kepada agensi berita AFP.
"Dia sihat, dia sedang berehat,"ujarnya.
Mirzan berkata, ayahnya mendapat serangan penyakit itu kerana terlalu letih setelah perjalanan jauh ke Arab Saudi dan New Zealand beberapa hari lalu.
Dr Mahathir, 81, yang memerintah negara selama 22 tahun hingga beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dimasukan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira pukul 4.30 pagi semalam selepas mengadu sakit dada.
Bekas Perdana Menteri itu pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada tahun 1989.
Mirzan berkata ayahnya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan menghantar mesej simpati kepadanya.
Menurut Mirzan lagi, sekarang bergantung pada nasihat doktor selama mana ayahnya perlu berehat di hospital.
Katanya, jika Dr Mahathir perlu berehat selama seminggu di IJN, itu bermakna beliau tidak akan menghadiri perhimpunan agung Umno minggu depan.
"Saya tidak fikir dia akan pergi ke perhimpunan itu, dia akan berada di hospital," katanya.
Dr Mahathir kini sedang bertelagah dengan Perdana Menteri berkaitan beberapa isu yang dibangkitkann sejak Jun lalu. Beliau meminta penjelasan dari Abdullah tentang pengurusan eknomi yang lemah, masa depan PROTON, pemberian permit import (AP) kereta dan amalan nepotisme dan rasuah dalam negara.

