Isu kepimpinan Pak Lah dijangka hangatkan perhimpunan Umno

   

Perhimpunan agung Umno dijangka panas dengan perbahasan beberapa isu pokok seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, pelaksanaan dan pengagihan kontrak kerajaan serta perpaduan dalam parti.

Perbahasan dalam perhimpunan mulai 13 hingga 17 November itu juga akan menyatakan sokongan padu parti kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa pengurusan Umno yang bermesyuarat semalam meluluskan pembentangan isu-isu itu sebagai perkara pokok dalam tiga usul penting pada Perhimpunan Agung Umno, yang akan bermula minggu depan.

Mesyuarat semalam meluluskan deraf tiga usul itu-usul terima kasih ucapan Presiden, usul ekonomi dan pendidikan serta usul agama dan sosial. Ia akan dibentang pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk mendapat kelulusan.

"Selepas itu kita akan membentangkan usul-usul tersebut di perhimpunan agung. Usul-usul ini akan memberi ruang kepada para perwakilan untuk berdebat panjang lebar isu-isu yang dihadapi pucuk pimpinan parti dan negara," katanya selepas merasmikan Program Bicara Jutawan Tani Melayu anjuran biro Pertanian Pemuda Umno di ibunegara hari ini.

Muhyiddin berkata, usul terima kasih ucapan Presiden akan menyentuh sokongan padu Umno kepada pimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno dalam menerajui negara.

"Usul ini juga akan memperlihatkan komitmen kita dalam membantu kerajaan mencapai visi negara dan kejayaan Rancangan Malaysia Kesembilan. Ia juga akan menyentuh soal perpaduan dalam parti dan isu-isu semasa," katanya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Uusul tersebut akan dibentangkan oleh wakil dari Sabah dan disokong oleh Pemuda Umno.

Beliau menambah, usul ekonomi dan pendidikan pula, antara lain akan menyentuh soal dasar ekonomi baru dan pengagihan kontrak kerajaan.

Modal insan dan pendidikan

"Usul ini akan menyentuh pengurusan syarikat-syarikat milik kerajaan, peningkatan modal insan, pembangunan pendidikan, pendidikan sepanjang hayat, usaha-usaha merapatkan jurang antara orang Melayu di bandar dan luar bandar, pendemokrasian pendidikan dan pendidikan yang berkualiti.

Wakil dari Selangor akan membentangkan usul ini dan Wanita Umno akan menyokongnya.

Usul agama dan sosial pula akan menyentuh soal status agama Islam sebagai agama rasmi negara, langkah-langkah meninggikan syiar Islam, konsep Islam Hadhari serta peranan Malaysia dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Pembahas dari Pahang akan membentangkannya dan disokong oleh Puteri Umno.

Katanya Muhyiddin, usul itu akan juga menekankan kepentingan institusi kekeluargaan.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In