Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuota bumiputera: Tak harus bagi tongkat berpanjangan - Shafie

Ahli Parlimen Semporna, Mohd Shafie Apdal berkata dasar afirmatif buat golongan memerlukan harus dilaksanakan berdasarkan prinsip adil dan saksama, bukannya atas dasar pemberian bantuan - yang diibaratkannya sebagai “budaya tongkat” - secara terus-terusan.

Presiden Warisan itu sebelum ini membantah rancangan syarat 51 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat penghantaran fret dan menyifatkannya sebagai satu bentuk diskriminasi.

“Penekanan bukan sahaja untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kaum malah juga jurang pendapatan antara golongan elit bumiputera T20 dengan bumiputera berpendapatan rendah B40.

“Keutamaan sepatutnya diberikan ke atas usaha untuk meruntuhkan penghalang untuk berjaya, bukannya memberikan bantuan berterusan atau budaya tongkat secara berpanjangan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, dasar afirmatif harus dapat memberi rakyat, antara lain, modal, pengetahuan, dan kemahiran. Yang paling utama, katanya, ialah daya tahan.

“Tindakan afirmatif harus berdasarkan merit dan kebertanggungjawaban. Kita tak harus hanya memberikan lobak (ganjaran), tetapi juga mesti menggunakan kayu (hukuman),” katanya.

Alibaba, kontrak kepada kroni 

Berkenaan kuota ekuiti bumiputera 51 peratus untuk syarikat penghantaran fret tempatan, Shafie sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya mencari jalan singkat dengan memberikan ekuiti secara terus kepada kaum bumiputera.

Katanya, terdapat pelbagai masalah yang berbangkit daripada pendekatan sebegitu, seperti “Alibaba” - atau pemberian kontrak kepada kroni - yang katanya hanya akan mengkayakan golongan elit.

“Adil dalam mendapatkan ganjaran, sama pentingnya dengan adil dalam menempuh kesusahan. Prinsip ini perlu dimasukkan dalam setiap tindakan afirmatif yang ada,” katanya.

Meskipun mengakui kedudukan istimewa bumiputera tidak harus dipertikaikan - termasuk dari Sabah dan Sarawak serta Orang Asli - kata Shafie, kerajaan tidak harus menggunakan peruntukan itu secara sembarangan dan tidak berlaku adil kepada warga berbilang bangsa.

“Tambahan pula, ada kalangan kita yang menggunakan slogan keistimewaan dan ketuanan untuk kelangsungan politik kepartian. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dan perlu kita tentang,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Shafie mencadangkan kerajaan membuat laporan berkala kepada Parlimen mengenai perbelanjaan RM400 biliion untuk RMK12 memandangkan ia adalah Rancangan Malaysia yang terbesar dalam sejarah negara.

Dia turut mencadangkan agar satu badan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan RMK12 dengan objektif utama iaitu mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat.

Lihat Komen
ADS