Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemungkinan besar akan mengikuti perhimpunan agung Umno secara langsung menerusi siaran televisyen di Institut Jantung Negara (IJN) kerana doktor menghendaki beliau berada di hospital sehingga minggu depan.

Anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kemungkinan besar bapanya tidak menghadiri perhimpunan tersebuat kerana doktor yang merawatnya telah menasihatkan bekas Presiden Umno itu berada di IJN sekurang-kurangnya seminggu lagi.

"Jadi, kalau perhimpunan itu ditayangkan secara langsung bolehlah dia (Dr Mahathir) sendiri tonton dalam biliknya di IJN," katanya.

Mukhriz berkata, ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga tidak akan mewakili Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno itu.

Beliau berkata kepada pemberita demikian selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, melawat Dr Mahathir di IJN di Kuala Lumpur pagi ini.

Mengenai keadaan bapanya, Mukhriz berkata Dr Mahathir jelas nampak lebih selesa sejak dipindahkan ke wad biasa dari Unit Rawatan Koronari (CCU) semalam.

"Tak banyak beza dari kelmarin...tapi hari ini dia nampak lebih selesa sebab dapat cukur sikit...," katanya.

Menurut laporan Bernama, Mukhriz juga berkata ibunya, Dr Siti Hasmah juga dalam keadaan baik dan sibuk memastikan semua keperluan bapanya dipenuhi.

Dr Mahathir, 81, dimasukkan ke IJN Khamis lalu selepas mengalami serangan jantung ringan di rumahnya pada awal pagi itu.

Sejak Khamais lalu beliau telah ditempatkan di CCU tetapi malam semalam bekas Presiden Umno itu dimasukkan ke wad biasa selepas doktor yang merawatnya berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.