Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dapat mengelak pertembungan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan agung Umno kali ini, tetapi beliau masih berdepan dengan kritikan terhadap prestasi pentadbirannya, kata para penganalisa.

Perhimpunan agung Umno yang bermula malam ini dengan perasmian serentak perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dihadiri 2,400 perwakilan.

Sebelum ini, perhimpunan itu dijangka bakal menyaksikan pertembungan antara Presiden Umno itu dengan Dr Mahathir yang mengkritik keras pentadbiran Abdullah, khususnya dalam menangani ekonomi negara.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan selepas Dr Mahathir diserang sakit jantung ringan minggu lalu dan mengatakan beliau tidak dapat menghadiri perhimpunan kali ini.

Seorang penganalisa politik veteran, Dr Chandra Muzaffar berkata, rancangan ahli-ahli Umno, yang dijangka 'menyerang' Dr Mahathir serta menyuarakan sokongan padu kepada Abdullah, tidak menjadi kenyataan selepas Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya rasa, jikapun ada sebarang usaha untuk mengattur serangan terhadap Dr Mahathir, ia akan 'mati' memandangkan beliau sedang menjalani rawatan," katanya kepada AFP.

"Menyerang seseorang yang sedang dirawat di hospital akan dianggap sebagai tidak sopan," katanya.

Namun, Abdullah, 66, masih berdepan dengan persoalan berhubung prestasinya selepas tiga tahun mengambilalih kuasa, termasuk keraguan yang ditimbulkan oleh Dr Mahathir, yang turut disuarakan oleh sesetengah perwakilan.

"Perhatian yang lebih akan ditumpukan kepada pelbagai isu yang berkaitan dengan pentadbiran Perdana Menteri," kata Dr Chandra.

Kepimpinan yang lemah

Mahathir, 81, mengkritik keras pentadbiran Abdullah yang didakwanya tidak cekap mengendalikan ekonomi negara serta mengamalkan nepostisme. Bagaimanapunpun, Abdullah yang juga Presiden Umno, berulangkali menafikannya.

Abdullah juga berdepan dengan rasa tidak puashati ahli-ahli Umno terhadap kepimpinannya yang dianggap lemah dan gagal untuk memenuhi janji-janjinya sewaktu pilihanraya umum lalu untuk memerangi rasuah.

Sementara itu, pertumbuhan ekonomi, walaupun baik, tetapi tidak hebat, manakala pelaburan asing pula semakin merosot.

Seorang lagi pemerihati politik Umno, Dr Shamsul Amri Baharuddin, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata perwakilan akan mendesak Abdullah supaya menjawab dakwaan Dr Mahathir itu.

"Abdullah kini bimbang, ahli-ahli Umno akan mendesak beliau menjawab dakwaan Dr Mahahtir itu. Sesetengah daripada mereka percaya ada kebenaran dalam dakwaan bekas Perdana Menteri itu. Mereka akan berterus terang dengan Abdullah," tambahnya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Mohamad Radzi Sheikh Ahmad sebelum ini berkata, para perwakilan bebas untuk bercakap dan mengkritik dasar-dasar kerajaan.

"Umno tidak pernah mengeluar arahan (kepada perwakilan) supaya jangan menyentuh isu-isu tertentu," katanya kepada pemberitaa.

Selain menjawab tuduhan Dr Mahathir, Abdullah juga diminta menjelaskan kedudukan ekonomi orang Melayu, yang merupakan kira-kira 60 peratus daripada 27 juta penduduk Malaysia.

Kadar pengangguran tinggi

Umno ditubuhkan pada 1946 untuk melindungi kepentingan orang Melayu, dan berusaha untuk meningkatkan status ekonomi mereka, yang ketinggalan di belakang kaum Cina.

Sokongan kuat untuk Umno datangnya dari kawasan luar bandar, di mana sebahagian besar penduduknya adalah orang Melayu.

Ramai daripada mereka merupakan pemilik tanah, tetapi masih dalam kemiskinan walaupun adanya usaha berterusan pihak kerajaan untuk memajukan mereka.

Satu lagi masalah yang dihadapi kerajaan Abdullah adalah kadar pengangguran yang tinggi di kalangan graduan Melayu.

Tinjauan kerajaan tahun lalu mendapati sebahagian besar graduan menganggur terdiri daripada kaum Melayu yang lemah penguasaan bahasa Inggeris, dan merupakan lulusan dalam bidang yang tidak relevan dengan bidang pekerjaan.

Menurut laporan tersebut yang dikeluarkan November lalu, orang Melayu dan bumiputera merupakan 49,000 daripada hampir 67,000 graduan menganggur.

Shamsul berkata, aahli Umno juga tidak gembira dengan pentadbiran Abdullah kerana tidak banyak program pembangunan dan kontrak projek mewah kerajaan yang kebiasaannya menjadi sumber kekayaan yang diperolehi mereka.

"Ramai ahli Umno tidak puashati dengan Abdullah. Ramai yang bergantung kepada parti untuk mendapatkan projek kerajaan sebagai imbuhan kepada sokongan politik. Kira-kira 70 peratus perwakilan adalah dari kumpulan ini," katanya.

Pilihanraya umum

Perhimpunan agung kali ini juga diadakan di tengah-tengah desas-desus bahawa pilihanraya mengejut mungkin diadakan tahun depan selepas Abdullah menangguhkan pemilihan Umno yang dijadualkan tahun depan langkah yang dilihat sebagai satu usaha untuk mengelak perpecahan dalam Umno, yang merupakan tunggak parti pemerintah, Barisan Nasional.

Abdullah memenangi pilihanraya umum yang lalu pada Mac 2004 dengan majoriti besar. Tarikh akhir bagi pilihanraya umum akan datang adalah sehingga Mac 2009.

Naib Presiden Umno yang juga Mentri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, parti berdiri teguh di belakang Abdullah dan menggesa perwakilan supaya menumpukkan kepada usaha mempromosikan Islam sederhana di negara ini yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

"Kami semakin hampir dengan pilihanraya. Kita perlu memperkukuhkan parti," katanya kepada AFP.

- AFP