Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Melaka: Penganalisis ramal peratusan mengundi turun

Tidak dapat tidak, banyak pihak membandingkan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dengan PRN Sabah tahun lalu, yang menyaksikan lonjakan jangkitan Covid-19 sehingga mencetuskan gelombang ketiga di negara ini.

Menurut penganalisis politik, Jeniri Amir, walaupun situasi kini sudah berbeza berbanding semasa PRN Sabah diadakan, kebimbangan sudah pasti wujud dalam kalangan pengundi yang akan menyebabkan peratusan keluar mengundi terjejas.

Lebih-lebih lagi, menurut felo kanan Majlis Profesor Negara itu, punca kejatuhan kerajaan negeri Melaka sehingga memerlukan PRN diadakan adalah berpunca daripada ahli politik sendiri.

“Itu tak dapat dielak. Kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku seperti di Sabah itu memang ada wujud, walaupun di Sabah waktu itu, keadaannya agak lain. Di sabah waktu itu, kita belum ada vaksinasi.

“Memang akan menurun. Pasti. Saya jangkakan 15 peratus penurunan (peratusan keluar mengundi),” katanya kepada Malaysiakini semalam selain memetik kadar vaksinasi negara yang semakin tinggi - menghampiri 90 peratus - pada masa kini.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, seramai 418,112 orang daripada 494,662 orang pengundi berdaftar di Melaka yang turun mengundi, atau 84.5 peratus.

Pada ketika itu, parti komponen Pakatan Harapan (PH) menang 15 kerusi berbanding BN/Umno 13 kerusi, namun kerajaan PH tumbang Mac tahun lalu kerana penarikan sokongan empat orang Adun, sebelum diambil alih kerajaan BN-PN.

Pada 5 Oktober, hal sama berulang apabila empat Adun - dua dari Umno, seorang dari Bersatu dan seorang bebas - mengumumkan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri BN-PN dan mahu membentuk kerajaan bersama PH.

Bagaimanapun, DUN kali ini dibubarkan setelah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam bersetuju dengan cadangan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, menyebabkan PRN harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran diwarta pada 5 Oktober.

Bergantung pada SOP oleh SPR

Pandangan Jeniri itu turut disuarakan penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung bahawa peratusan keluar mengundi akan terjejas, kerana sebahagian pengundi mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi demi menjaga keselamatan dan kesihatan diri.

Lebih-lebih lagi, kata Lee, dalam kalangan pengundi terpelajar dan profesional, yang pasti akan menilai prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum membuat keputusan untuk mengundi atau tidak.

“Bergantung pada SOP diperkenalkan SPR. SPR mempunyai peranan yang penting,” katanya yang tidak mahu memberikan anggaran peratusan yang bakal merosot ketika dihubungi.

Jeniri juga berpandangan itulah cabaran terbesar yang harus ditangani SPR serta jentera-jentera parti politik yang terlibat - memastikan peratusan keluar mengundi berada pada “paras yang munasabah” dan tidak menjunam.

Katanya, meskipun bukanlah satu perkara yang luar biasa untuk pilihan raya dilakukan ketika pandemik Covid-19 - seperti dilakukan banyak negara luar - hal itu menjadi kerisauan buat rakyat negara ini, lebih-lebih lagi dengan apa yang berlaku selepas PRN Sabah.

Menuruntya, usaha untuk mengembalikan keyakinan pengundi, terletak di bahu SPR dan agensi-agensi yang berkaitan, dengan mengambil iktibar pendekatan negara-negara lain.

Ini, katanya, termasuklah menyediakan tatakelakuan pengundi, SOP ketat, selain pendekatan lain, seperti mengkhususkan masa mengundi yang tertentu buat

pengundi berusia 60 tahun ke atas, seperti yang dilaksanakan Singapura.

Pengundi muak, kecewa

Selain aspek keselamatan, satu lagi faktor utama yang akan menyebabkan penurunan peratus keluar mengundi, kata Lee, adalah rasa muak pengundi terhadap politiking yang berlaku, di kala kadar jangkitan baru menampakkan trend penurunan.

“Saya percaya rakyat sudah kecewa dengan benda-benda seperti ini, dan rakyat akan hukum parti-parti yang bertelagah, pihak-pihak yang membawa kepada PRN ini,” katanya lagi.

Disoal tentang cadangan darurat bagi menangguhkan PRN Melaka, seperti yang dilakukan untuk PRN Sarawak, kedua-dua Jeniri dan Lee nampaknya mempunyai pandangan senada, bahawa keadaan di Melaka dan Sarawak tidak boleh disamakan.

Lee melihat cadangan darurat sebagai kurang praktikal, memandangkan negara sudah bergerak ke fasa endemik Covid-19, manakala kadar vaksinasi negara juga sudah mencapai peratusan yang tinggi.

Darurat - Jangan bandingkan Melaka dengan Sarawak

Jika Sarawak tidak mempunyai pilihan selain mesti melakukan PRN kerana tamat penggal DUN, Melaka pula lain ceritanya. Pandangan sama turut dikongsi Jeniri, bahawa DUN Melaka terbubar akibat tindakan ahli politik sendiri.

“Jangan bandingkan dengan Sarawak. Sarawak itu diisytiharkan darurat kerana mandatnya itu sudah habis. Nampak tak? Dua keadaan yang berbeza,” kata Jeniri.

Menurut Jeniri, bagi menyelesaikan krisis Melaka secara tuntas, mandat harus diserahkan semula ke tangan pengundi, meskipun harus berdepan cabaran dan kekangan yang disebutnya tadi.

“Malahan darurat di Sarawak itu pun boleh ditamatkan lebih awal,” usul Lee pula.

Namun, sekiranya PRN Melaka ditangguhkan, saran Lee, mungkin SPR boleh mencadangkan agar PRN Melaka dilakukan serentak dengan PRN Sarawak, dijangka pada tahun hadapan.

Tempoh lima tahun DUN Sarawak berakhir pada 7 Jun, ketika negara berada dalam pelaksanaan darurat, menyebabkan PRN yang sepatutnya diadakan dalam masa 60 hari, ditangguhkan.

Pun begitu, selepas darurat tamat pada 1 Ogos, darurat setempat diisytiharkan di Sarawak untuk membolehkan negeri itu menangguhkan PRN di tengah-tengah wabak Covid-19, berkuat kuasa 2 Ogos dan dijangka tamat 2 Februari 2022.

Walau bagaimanapun, GPS, gabungan parti pemerintah Sarawak memberi jaminan bahawa darurat itu mungkin ditamatkan lebih awal jika penduduk dewasa selesai diberikan vaksinasi sepenuhnya pada Oktober.

Sarawak setakat ini telah mencapai status vaksinasi lengkap dewasa sebanyak 89.7 peratus, manakala Melaka pula mencatatkan angka 88.6 peratus.

Lihat Komen
ADS