Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Darurat diisytihar di Sarawak
Diterbitkan:  Jul 31, 2021 9:49 AM
Dikemaskini: 5:57 AM

Darurat setempat telah diisytiharkan di Sarawak untuk membolehkan negeri itu menangguhkan pilihan raya di tengah-tengah wabak Covid-19.

Pengisytiharan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan semalam dan akan berkuat kuasa mulai 2 Ogos.

Tarikh tamat darurat juga disertakan dalam proklamasi darurat setempat yang akan berlangsung selama enam bulan hingga 2 Februari 2022.

Darurat yang dikhususkan untuk Sarawak itu berikutan berakhirnya darurat seluruh negara, yang pertama kali diisytiharkan pada 11 Januari, dan akan tamat esok 1 Ogos.

Proklamasi itu, yang ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menyatakan pilihan raya (PRN) Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh berakhirnya darurat negara, oleh itu memerlukan darurat setempat diisytiharkan untuk menangguhkan pilihan raya negeri. 

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan PRN Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.

Kata PMO, jemaah menteri pada mesyuarat 21 Julai lalu bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya memperkenankan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak setelah darurat yang berkuat kuasa sekarang berakhir pada 1 Ogos ini.

"Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Kerajaan Sarawak telah memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak yang akan mula berkuat kuasa pada 2 Ogos 2021 hingga 2 Feb 2022," demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan berkenaan proklamasi itu bertarikh 30 Julai, Al-Sultan Abdullah berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Lihat Komen
ADS