Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM umum penubuhan jawatankuasa khas siasat kematian Adib
Diterbitkan:  Oct 9, 2021 3:19 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ismail berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kabinet semalam.

Menurutnya, jawatankuasa ini akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Idrus Harun.

"Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan.

Muhammad Adib, mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018.

Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018.

Inkues ditubuhkan berikutan perselisihan pendapat mengenai punca kematiannya, sama ada disebabkan oleh kemalangan atau serangan yang disengajakan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib disebabkan oleh perlakuan jenayah oleh lebih daripada dua atau tiga orang yang tidak dikenali.

Teliti kes Batu Puteh, dakwaan Tommy Thomas

Selain itu Ismail Sabri berkata jemaah menteri juga bersetuju agar pasukan khas ditubuhkan bagi menyemak semula berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran dalam kes Pulau Batu Puteh.

Katanya, pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

"Usaha ini bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh," katanya.

Pada masa yang sama, katanya, jemaah Mmnteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes berkenaan.

Untuk rekod pada 2018, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan untuk berpihak kepada Singapura dalam isu perselisihan wilayah di pulau itu.

Pada penghujung Mei 2018, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kerajaan PH pimpinan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ berkenaan.

Sementara itu, Ismail berkata kabinet turut bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan diambil terhadap dakwaan bekas peguam negara, Tommy Thomas di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness

"Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,"katanya.

Lihat Komen
ADS