Najib runsing pemimpin disanjung bertelagah
Seperti yang dijangkakan, perhimpunan agung Umno kali ini menjadi pentas untuk menjana sokongan padu kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Seperti yang dijangkakan, perhimpunan agung Umno kali ini menjadi pentas untuk menjana sokongan padu kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Sewaktu merasmikan serentak perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam ini, Timbalan Presiden Umno berkata, ia selaras dengan tradisi Umno untuk memberi ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan parti itu.
"Tradisi Umno mementingkan mesyawarah untuk menjamin perpaduan. Kita mesti memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Abdullah sebagai presiden parti dan Perdana Menteri.
"Itulah tanda kesepakatan perjuangan dengan semangat sepasukan yang padu. Itulah tanda kesetiaan demi mencapai wawasan yang jitu," kata Timbalan Perdana Menteri itu sambil menegaskan pemimpin datang dan pergi silih berganti.
Serentak dengan itu, Najib melahirkan harapannya agar "cahaya perdamaian" akan menyinar dalam mengakhiri pertelagahan antara pemimpin "yang disanjung".
Walaupun tidak menyebut secara khusus, ucapannya itu jelas merujuk kepada pertelingkahan antara Abdullah dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik keras pentadbiran Perdana Menteri yang antara lain, didakwanya tidak cekap mengurus ekonomi negara.
Pemimpin bertelagah
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak dapat memenuhi jemputan menghadiri perhimpunan agung Umno Rabu ini kerana sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas diserang sakit jantung ringan minggu lalu.
Dalam ucapannya yang bertemakan 'Memacu Minda Melayu', Najib menegaskan, setiap Perdana Menteri telah berkhidmat, berbakti dan berjaya dalam zaman dan era tersendiri yang 'terpahat dengan tinta emas sejarah'.
"Generasi kini amat mengharga setiap idea, sumbangan fikiran, dasar-dasar kecil dan besar yang telah mengubah landskap sosio-politik negara bangsa kita. Jasa dan para pemimpin tinggi nilainya. Hormat kita kepada mereka tiada taranya," tambahnya.
Namun, tambah Najib, kerunsingan terserlah apabila pimpinan yang disanjung mula bertelagah.
"Kebimbangan kita pun bertambah apabila pembangkang, mula mengambil kesempatan. Alangkah lega dirasakan jika kita diberi peluang untuk membina bangsa dan negara tanpa cabaran seumpama itu.
"Mampukah kita bercanggah sedangkan impian dan wawasan tinggal 13 tahun untuk dipenuhi? Mampukah kita bersengketa jika anak bangsa masih belulm gagah di bumi sendiri?
"Perrtelingkahan akan berakhir dengan perpecahan. Dari itu, tinggi harapan kepada semua yang cintakan agama, bangsa dan negara agar cahaya perdamaian akhirnya nanti menyinari suasana yang muram," katanya.
Agenda Melayu
Dalam pada itu, Najib berkata agenda Melayu akan terus diperkasakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Apa juga yang perlu untuk kemajuan Melayu, tegas Timbalan Presiden Umno itu, akan diperjuangkan agar ia segera dilaksakana.
"Amanat itu jangan diselewengkan, jangan ditiriskan dan jangan sekali-kali diabaikan. Jentera pelaksana, khasnya pegawai dan kakitangan kerajaan, mestilah terus dedikasi dalam pekerjaan, kurangkan kerenah birokrasi, gandakan kerjasama dengan pihak swasta.
"Pimpinan parti disemua peringkat hendaknya menjadi mata yang tidak buta, telinga yang tidak tuli dan mulut yang tidak bisu untuk membina maruah bangsa," katanya.
Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, menurut statistik tahun 2005 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, bangunan dan premis komersil yang dimiliki Bumiputera hanya 11.7 peratus berbanding 71 peratus kaum Cina.
Berikutan itu, katanya, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera dibentuk dengan modal awal RM2 bilion bagi memastikan pegangan hartanah yang tidak dapat dibeli oleh individu Melayu, dapat diperolehi dengan dana secara berkumpulan.
Keharmonian kaum
Najib juga memberi amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab supaya "memadamkan segera api yang boleh memusnahkan keharmonian kaum dan agama".
"Mutakhir ini kita dihadapkan dengan pelbagai isu yang mencabar kesucian agama Islam. Kita saksikan meningkatnya kes-kes ajaran sesat, murtad dan tentangan terhadap peruntukan perlembagaan yang berkaitan agama Islam khususnya Perkara 11 dan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
"Kesemuanya mempamerkan bibit-bibit pernghinaan kepada kesucian agama Islam dan percubaan untuk mengoncang akidah umat," katanya
Sehubungan itu, tegasnya, Umno menentang sekeras-kerasnya penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kerana ia boleh menggugat keharmonian kaum.
"Persoalan mengenai agama adalah isu sensitif yang wajar difahami oleh semua pihak. Justeru, berhati-hatilah menangani hal ini demi mengekalkan perpaduan kaum," katanya.
Menurutnya, Umno akan teguh dengan pendiriannya sebagai pembela agama Islam di Malaysia.

