Najib: Pendapatan isurumah kaum Cina sangkal dakwaan LKY
Perangkaan menunjukkan purata pendapatan isirumah kaum Cina di Malaysia, jauh lebih tinggi berbanding kaum Melayu, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perangkaan menunjukkan purata pendapatan isirumah kaum Cina di Malaysia, jauh lebih tinggi berbanding kaum Melayu, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perangkaan tersebut, tegas Timbalan Perdana Menteri itu, menyangkal dakwaan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew kononnya kaum Cina terpinggir di negara ini.
Berucap merasmikan serentak perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di ibunegara malam itu, Najib berkata, pendapatan per kapita isi rumah kaum Cina bertambah daripada RM796 sebulan pada 1976 kepada RM4,437 sebulan pada 2004.
Sebaliknya, tegas beliau, pendapatan purata isirumah kaum Bumiputera hanya meningkat daripada RM339 sebulan kepada RM2,711 sebulan bagi tempoh yang sama.
"Oleh itu, tertolaklah sama sekali tuduhan Lee Kuan Yew yang menyatakan bahawa bangsa Cina terpinggir di negara ini," katanya.
Naik taraf sosio-ekonomi
Najib berkata dalam usaha kerajaan menaik taraf sosio-ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan kaum Cina tidak pernah dikesampingkan.
Keadilan dan toleransi sememangnya telah lama diamalkan di negara ini, katanya.
"Justeru, janganlah sesekali keterbukaan kita dianggap sebagai satu kelemahan. Bahkan, keterbukaan itulah formula kejayaan kita memerintah selama ini," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan murni ini telah sekian lama disambut baik oleh rakan bangsa lain dengan berganding bahu membangunkan Malaysia.
Lee semasa berucap pada satu majlis di republik itu membuat dakwaan kononnya kaum Cina di Indonesia dan Malaysia telah dipinggirkan secara sistematik.

