Pergerakan Puteri Umno hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan media dan pihak tertentu menyiarkan cerita negatif dan yang cenderung kepada mengambil kesempatan terhadap wanita terutama anak gadis Melayu, melalui berita, filem, iklan dan lamanweb.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata ada media kebelakangan ini secara terbuka membincangkan perkara mengenai amalan seks, isu remaja menjadi habuan "mat rempit" dan sebagainya.

Ketika menyentuh masalah sosial yang membabitkan wanita dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Puteri Umno di sini, Noraini berkata pergerakan itu mahu gejala negatif berkenaan ditangani secara serius.

Puteri Umno yang kini meniti usia lima tahun penubuhannya, turut merakamkan rasa kesal dengan penyebaran secara berleluasa gambar lucah wanita muda di lamanweb, e-mel dan telefon bimbit, selain keberanian filem Melayu mendedahkan tubuh wanita termasuk adegan berkemban wanita Melayu.

Menurut laporan Bernama, Noraini juga menegur babak lakonan keterlaluan suami isteri Melayu di atas ranjang yang semakin menghiasi kebanyakan drama dan filem, selain penyiaran drama bersiri dari luar negara yang boleh merosakkan akidah umat Islam negara ini.

Noraini berkata kerajaan harus membendung gejala ketagihan siri drama yang memesongkan akidah atau mencetuskan idea baru untuk berkelakuan curang, melakukan seks bebas serta merosakkan norma dan sosial masyarakat di negara ini.

Sikap keterlaluan media

"Jangan semata-mata untuk mengisi slot atau masa siaran maka drama yang bertentangan dengan budaya kita itu menjadi tatapan saban waktu Zuhur, Asar dan Maghrib.

"Terlepas pandangkah mereka yang diamanahkan ke atas perkara ini?" soal beliau.

Noraini berkata Puteri Umno kesal dengan tindakan sebuah akhbar mingguan berbahasa Inggeris pada 4 November lalu yang tanpa segan silu membincangkan secara terbuka amalan seks dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya pergerakan itu kesal dengan tindakan keterlaluan akhbar berkenaan yang langsung tidak memikirkan sensitiviti masyarakat negara ini yang menjunjung tinggi adab budaya dan nilai ketimuran.

Pergerakan Puteri mendesak media supaya lebih bertanggungjawab, menghormati etika, menjaga tatasusila dan sensitiviti agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Mengenai masalah mat rempit yang melibatkan 99 peratus remaja lelaki Melayu dan mengheret sama kelompok remaja wanita, Noraini menyarankan supaya hukuman lebih berat seperti sebat, denda atau penjara mandatori dikenakan terhadap pesalah.

Beliau turut mengalu-alukan peraturan mewajibkan pengguna telefon bimbit pra bayar didaftarkan bagi menyekat khidmat penghantaran mesej yang disalahguna untuk menyebarkan fitnah, berita palsu, gambar dan adegan lucah.