Pada bulan lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid telah mengumumkan bahawa ahli parlimen pembangkang dan kerajaan akan diberi nilai peruntukan yang sama di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri bagi tempoh empat bulan terakhir tahun ini. Langkah ini sudah pasti akan menjamin politik yang matang dan sejahtera kerajaan yang bertemakan “Keluarga Malaysia’’.

Sehubungan itu, pemberian peruntukan yang saksama juga merupakan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan transformasi Parlimen.

Transformasi yang diperkenalkan oleh kerajaan bukan sahaja akan mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Kegunaan Peruntukan Pembangunan Kawasan

Setiap ahli parlimen akan diberikan peruntukan dalam jumlah yang tertentu oleh kerajaan persekutuan untuk digunakan di kawasan masing-masing.

Menurut Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann, sasaran peruntukan tersebut adalah hanya untuk menampung projek pembangunan yang berskala kecil. Walaubagaimanapun, peruntukan ini perlu diuruskan dengan efisien.

Setiap ahli parlimen boleh memohon peruntukan ini untuk pembangunan kecil di kawasan mereka, seperti pembinaan dewan komuniti yang baru, kerja membaik pulih jambatan, tempat beribadat, bantuan kebajikan dan sebagainya. Mereka juga boleh memohon peruntukan dalam bentuk geran atau sumbangan supaya dapat diberikan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan lain di kawasan mereka.

Menginstitusikan reformasi polisi Peruntukan Pembangunan Kawasan

Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kerajaan dan Pakatan Harapan adalah satu langkah yang baik untuk politik di negara kita. Langkah pembaharuan ini memberi transformasi institusi yang penting,” kata Thomas.

Persefahaman tersebut adalah pencapaian yang jarang antara kerajaan dan pembangkang dalam politik Malaysia dimana semangat rentas parti diutamakan berbanding politiking yang tidak berkesudahan.

“Kami berharap manfaat reformasi institusi termasuk peruntukan pembangunan kawasan akan dapat dipanjangkan kepada semua ahli parlimen pembangkang dan bukan hanya kepada ahli parlimen Pakatan Harapan sahaja.

“Walaupun langkah pembaharuan ini adalah sesuatu yang baik, reformasi ini belum cukup mampan kerana peruntukan yang saksama ini adalah hanya atas budi bicara Perdana Menteri,” beliau berkata.

Oleh itu, Bersih 2.0 mencadangkan untuk menggubal undang-undang dalam pemberian peruntukan pembangunan kawasan agar semua ahli parlimen diberi layanan yang sama, tanpa diskriminasi dan undang-undang ini tidak boleh diubah sewenang-wenangnya oleh kerajaan yang memerintah demi kepentingan politik.

“Pada jangka masa yang panjang pula, peruntukan ini perlu datang daripada parlimen dan bukan daripada pejabat Perdana Menteri serta perlu bebas daripada pengaruh Perdana Menteri dan eksekutifnya,” ujarnya.

Di samping itu, peruntukan pembangunan kawasan juga perlu diberikan dengan syarat dan mekanisme pemantauan yang ketat agar tidak ada ketirisan serta memastikan proses agihan peruntukan di kawasan masing-masing berjalan dengan tulus serta berakauntabiliti.

“Kita berharap dengan akta perkhidmatan parlimen yang bakal dikenal semula, pengurusan peruntukan kawasan akan datang daripada parlimen dan bukannya daripada wakil rakyat. Hal ini demikian kerana, peranan wakil rakyat adalah sebagai penggubal undang-undang dan bukan untuk mengurus pembangunan kawasan mereka atau menjadi pegawai kebajikan pengundi" katanya.

Tanggungjawab kedua-dua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, dan bukannya untuk kepentingan peribadi. Ini kerana dengan kuasa undi rakyatlah mereka dilantik sebagai pemimpin.

(Kempen: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, BERSIH 2.0)
Pastikan rakyat Malaysia TIDAK dihukum berdasarkan siapa yang mereka undi! Wujudkan kesamarataan CDF dalam undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri! Sokong petisyen ini: http://bit.ly/3A8SaJF