mk-logo
Berita
Bekalan air mula disalurkan berperingkat 5 petang ini
Diterbitkan:  Oct 14, 2021 1:06 AM
Dikemaskini: 1:06 AM

Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) siap dilaksanakan pada jam 5 pagi tadi.

Sehingga jam 6 pagi, kata Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sistem rawatan air di situ sudah distabilkan dan bekalan mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata bekalan kepada pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat pada jam 5 ini.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," katanya.

Menurut Elina lagi Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

"Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

"Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS