Peruntukan pembangunan kawasan yang diberikan kepada Ahli Parlimen dan ADUN adalah untuk menaik taraf kawasan bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat, termasuk membaik pulih kemudahan awam, membantu golongan kurang berpendapatan, salurkan dana bagi aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Mulai bulan September hingga Disember 2021, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju untuk memberikan peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen Kerajaan dan Pakatan Harapan.

Menurut YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, peruntukan untuk mana-mana kawasan seharusnya perlu dalam bentuk administratif serta pengurusan peruntukan ini tidak boleh menjadi sebahagian daripada tugas seorang MP, tetapi perlu menjadi kewajipan sama ada majlis tempatan, kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.

“Urusan seperti pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur, harus berada di bawah bidang kuasa yang berlainan kerana peranan wakil rakyat adalah sebagai penggubal undang-undang dan bukan untuk mengurus pembangunan kawasan mereka,” katanya.

Walaubagaimanapun, jika majoriti ahli parlimen ingin menguruskan peruntukan ini di kawasan mereka, maka satu sistem yang komprehensif perlu diamalkan supaya peruntukan tersebut tidak disalahgunakan.

Beliau juga berkata bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kerajaan dan Pakatan Harapan adalah satu langkah ke hadapan dan merupakan satu inisiatif untuk menjamin kerjasama bipartisan antara kerajaan dan pembangkang serta merupakan satu transformasi institusi yang penting.

Kini dengan peruntukan yang saksama untuk kedua-dua belah pihak, maka pencapaian pembangunan akan menjadi lebih seimbang di antara negeri dan kawasan.

Adakah kerajaan akan memastikan pemberian peruntukan pembangunan kawasan yang adil berterusan?

“Berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU), terdapat perjanjian daripada pihak kerajaan untuk memastikan peruntukan pembangunan kawasan yang berterusan diberi kepada pihak pembangkang dengan jumlah yang sama diberikan kepada ahli-ahli parlimen kerajaan”

“Selain itu, tanggungjawab seorang ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri, adalah untuk berkhidmat untuk rakyat, jadi adalah adil untuk sesiapa sahaja yang mewakili sesuatu kawasan untuk mendapat jumlah peruntukan yang sama,” ujarnya.

Menginstitusikan reformasi polisi Peruntukan Pembangunan Kawasan

“Sekarang ini, walaupun ada garis panduan yang diberikan untuk kegunaan peruntukan ini tetapi peraturan dan garis panduan yang sedia ada perlu dihaluskan lagi serta laporan tentang peruntukan yang digunakan juga perlu dihantar dan diaudit di pejabat pembangunan negeri masing-masing,” beliau berkata.

“Berdasarkan pengalaman menjadi ahli parlimen di Indera Mahkota, saya belum pernah diminta untuk membuat laporan terhadap perbelanjaan peruntukan pembangunan kawasan, tetapi saya masih mengambil inisiatif untuk menyiarkan dan mengisytiharkan laporan tersebut secara terbuka kepada orang ramai melalui sidang media walaupun perkara ini tidak diwajibkan.”

Penggubalan undang-undang yang khusus

Beliau juga menjelaskan bahawa setakat ini, tidak ada undang-undang yang khusus untuk memastikan pemberian peruntukan yang sama rata tidak akan berubah walaupun kerajaan berubah. Hal ini demikian kerana, ia bergantung kepada kerajaan hari ini.

Menurut YB Dato’ Saifuddin Abdullah, untuk memastikan pembahagian yang sama rata ini terus dikekalkan, satu implementasi undang-undang yang tetap perlu digubal.

Peraturan yang tetap ini perlu merangkumi aspek-aspek penggunaan bagi peruntukan pembangunan kawasan tersebut. Misalnya, peruntukan ini digunakan untuk menaiktaraf kemudahan awam, dana aktiviti masyarakat, juga termasuk pengurusan pejabat ahli parlimen. Sedangkan, peruntukan tambahan yang lain boleh diperuntukkan dalam perkara seperti kebajikan, bencana alam, yang akan diurus oleh pejabat-pejabat lain yang berkenaan.

Selain itu, satu formula perlu dibentuk bagi peruntukan pembangunan kawasan, kerana kita tidak boleh hanya mengambil kira jumlah pengundi, faktor seperti tahap pembangunan dalam sesuatu kawasan juga merupakan satu elemen yang penting. Di kawasan bandar, semua infrastruktur sudah dibina dengan lengkap, tetapi jika kita melihat tahap pembangunan di luar bandar, ia adalah jauh beza dan perlu diberi fokus yang lebih.

Akhir kata, semua ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak perlu bertanggungjawab dalam menggunakan peruntukan yang diterima dengan tulus dan berakauntabiliti.