Setengah juta ahli Umno belum daftar sebagai pemilih
Kira-kira 500,000 ahli Umno masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Kira-kira 500,000 ahli Umno masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Katanya, jumlah tersebut merupakan kira-kira 15 peratus daripada 3.2 juta ahli Umno yang berdaftar sehingga ini.
Berikutan itu, katanya, ibupejabat Umno telah menghantarkan senarai nama ahli Umno terbabit, telah dihantar kepada pihak bahagian untuk didaftarkan sebagai pemilih.
Selain itu, katanya, pihak cawangan juga telah diarahkan supaya mendaftarkan terlebih ahli-ahli baru sebagai pemilih sebelum senarai nama mereka dihantar kepada ibupejabat.
Untuk itu, tambahnya, sebuah lamanweb www.ahliumno.com.my telah dibuka untuk memudahkan proses menyemak keahlian parti. Selain itu, ia juga boleh disemak melaui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Radzi menegaskan demikian di majlis perasmian perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pagi ini.
Kelab Umno
Dalam perhimpunan kali ini, kata Radzi, ibupejabat juga membekalkan kad pengenalan pintar kepada para perwakilan yang hadir.
Selain mengandungi maklumat peribadi ahli, katanya, kad pintar tersebut juga akan digunakan sebagai pengenalan diri dalam pemilihan parti yang akan datang.
Radzi juga berkata, jumlah kelab Umno luar negeri juga telah bertambah daripada 50 kepada 60 buah tahun ini.
Mengenai keahlian parti, Radzi berkata, jumlahnya ilah 3,288,715 dengan Johor mencatatkan jumlah ahli teramai 460,285 orang.
Jumlah terkini cawangan Umno ialah 19,692. Umno bahagian Kemaman, Terengganu mempunyai keahlian teramai (40,961) manakala cawangan Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi di Johor pula mencatatkan keahlian teramai (1,681).

