Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menggariskan pencapaian pentadbirannya dalam melaksanakan 12 gagasan yang menjadi asas manifesto Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu.

Presiden Umno itu berkata, beliau akan memperkotakan ikrar untuk melaksanakan 12 gagasan dalam manifesto tersebut yang menyaksikan BN mencapai kejayaan besar dalam pilihanraya umum yang lalu.

"Kejayaan gemilang BN itu haruslah ditafsirkan sebagai 'endorsement' rakyat terhadap gagasan yang telah dijadikan landasan untuk membawa negara mencapai kejayaan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang," tegas Presiden Umno itu dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini.

Abdullah yang menerajui negara sejak 2003 berkata, 12 gagasan tersebut turut dijadikan landasan Bajet Negara pada tahun-tahun 2004, 2005 dan 2006 serta dalam merangka Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Berikut adalah intipati ucapan dasar Abdullah yang bertemakan 'Kata dikota' setebal 29 muka surat yang memperjelaskan gagasan dan pencapaian pentadbiran sejak tiga tahun yang lalu:

Gagasan pertama - kepimpinan politik

Pentingnya kepimpinan politik berperanan sebagai penggerak dan peneraju kepada kepimpinan lain. Memperlihatkan sebaik contoh untuk dapat dihormati dengan memperlihatkan sifat-sifat kejujuran, kerajinan, ketelusan dan kesungguhan. Memilih pendekatan secara seruan bagi menyemai benih keinsafan hingga ia merimbunkan penghayatan, lalu bertunjangkan kekuatan dalaman, menjadi prinsip pegangan warga, bermula dari kalangan pemimpin dan ahli Umno.

Gagasan kedua - amalam demokrasi

Menyuburkan sistem demokrasi melalui tanggungjawab secara kolektif dengan peringatan bahawa demokrasi tidak bererti kebebasan mutlak yang memboleh kebebasan untuk menyentuh sensitiviti agama, kaum, budaya dan bahasa.

Parlimen adalah lambang demokrasi yang mengutamakan amalan perundingan budaya perbincangan. Hormati suara wakil yang dipilih rakyat dengan memberi mereka peluang berhujah dan berdebat.

Wakil rakyat diberi peluang menilai prestasi kerajaan, cabang eksekutif kerajaan kini ditegur dan dikritik secara terbuka, bukan sahaja oleh anggota pembangkang, tetapi juga kalangan 'backbencher' kerajaan, ahli-ahli Umno dan rakyat jelata.

Amalan perundingan dan budaya perbincangan dalam parti dilakukan melalui Majlis Tertinggi, biro politik, jawatankuasa pengurusan dan pelbagai biro dan jawatankuasa parti. Dalam kerajaan ianya diamalkan melalui Jemaah Menteri dan di kalangan kakitangan awam.

Media

Media sebagai rakan dalam usaha membina masyarakat demokratik dan bertanggungjawab. Media lebih terbuka menyiarkan berita memaparkan kesilapan kerajaan, agensi dan jabatan kerajaan. Lebih bersedia melihat perbalahan hangat meletus di akhbar daripada rusuhan membara di muka bumi.

Namun begitu mengingatkan kebebasan perlu mengenali batas dan sempadan. Perpaduan dan keharmonian antara warga yang pelbagai tidak sama sekali boleh dikompromi. Faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam tetap memerlukan pengawasan tegas. Tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan kebebasan yang diberikan.

Gagasan ketiga - pendidikan

Membangunkan modal insan melalui program pendidikan berkualiti dan holistik untuk memperlengkapkan warga Malaysia menghadapi dunia global, disusuli dengan kelahiran masyarakat kreatif dan inovatif yang menjadi komponen kepada barisan warga berfikiran dan berbudaya kelas perptama.

Melahirkan masyarakat 'Ulul Al-Bab' merupakan barisan insan yang berupaya menganalisa, menguasai sains, memahami falsafah dan menguasai teknologi.

Gagasan keempat - transformasi ekonomi dan FDI

Menjamin pertumbuhan ekonomi negara dengan menerokai sumber baru, memastikan berlakunya kesaksamaan dalam pembangunan, memberi fokus kepada pembangunan luar bandar dan memodenkan sektor pertanian.

Perlu lakukan transformasi ekonomi. Transformasi tidak akan memperlihatkan hasil dalam tempoh yang singkat. Ini memerlukan usaha memahamkan rakyat yang mahu melihat hasil secara segera. Ada rungutan FDI (Pelaburan Terus Asing) tidak lagi mengalir ke negara ini. Ada rungutan pasaran saham tidak cergas. Benar, ia tidak seperti FDI yang mengalir ke ekonomi negara lain. Ini disebabkan kita tidak terbuka kepada penggabungan dan pengambilalihan. Atas kepentingan nasional, di Malaysia, ia diizinkan secara selektif.

Gagasan kelima - agihan saksama dan DEB

Membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera dan masyarakat sains dan teknologi bumiputera ke tahap yang dapat mengimbangkan kesaksamaan pembahagian. Teras ketiga misi nasional memberi tumpuan kepada menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif.

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Tempoh 20 tahun untuk memenuhi matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah tempoh masa yang terlalu suntuk, tempoh yan tidak realistik untuk membolehkan sasaran menyusun semula masyarakat dan membasmikan kemiskinan dapat dicapai sepenuhnya. Kerajaan memikul usaha pencapaiannya sedangkan penglibatan pihak swasta lebih berbentuk kosmetik.

Kajian yang merumuskan 45 peratus saham dalam syarikat adalah milik bumiputera adalah tidak betul sama sekali. Mempertikaikan pula kaedah pengiraan yang dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi, samalah seperti dengan mengatakan kerajaan telah berbohong. Menegaskan bahawa kaedah yang digunakan oleh kerajaan adalah komprehensif, kaedah yang telah digunakan secara konsisten sejak tahun 1971 lagi.

Gagasan keenam - penyertaan swasta

Mengiktiraf peranan sektor swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi terutama dalam mencipta peluang baru ekonomi. Inisiatif pembiayaan swasta, diperkenalkan sebagai pendekatan baru untuk merangsang pelaburan swasta menerusi pembangunan prasarana dan utiliti serta penglibatan mereka membangunkan kawasan dan wilayah. Projek-projek yang dikenal pasti kerajaan bernilai RM20 bilion. Kerajaan peruntuk RM5 bilion berbentuk dana pemudah cara untuk merangsang pelaburan swasta bagi projek yang dikenalpasti.

Gagasan ketujuh - sistem penyampaian

Meningkatkan prestasi sektor awam terutama memperbaiki sistem penyampaian dan berperanan sebagai pemudah cara membantu peranan sektor swasta. Badan Bertindak Pelaksanaan nNegara (BBPN) telah ditubuhkan bagi melaksanakan projek berimpak tinggi dan berskala besar. BBPN telah melaksanakan 20 projek berimpak tinggi. Ia juga turut menyusun langkah membantu menangani masalah pengangguran di kalangan graduan.

Gagasan kelapan: Basmi rasuah

Menangani rasuah dengan penekanan kepada pendekatan pencegahan di samping pendekatan punitif. Memerangi rasuah memerlukan komitmen semua pihak. Kadangkala usaha memerangi rasuah begitu mengecewakan. Telah melahirkan harapan supaya mahkamah memutuskan kes-kes rasuah dengan segera atas dasar ia melibatkan kepentingan awam. Ada tanggapan bahawa langkah menentang rasuah diperlahankan kerana tiada tangkapan dibuat. Tiada tangkapan tidak bermakna kerajaan tidak terus melakukan pemantauan.

Gagasan kesembilan - kuatkuasa undang-undang

Menguatkuasa undang-undang secara tegas lagi telus terutama dalam menangani jenayah serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan pencemaran alam sekitar, pihak kerajaan tempatan, undang-undang trafik dan lalulintas, masih perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.

Gagasan kesepuluh - warga muda dan wanita

Menggalakkan penyertaan aktif warga muda dan emansipasi wanita yang lebih seimbang. Mereka harus dilibatkan secara aktif dari peringkat perancangan dan diberi kepercayaan untuk sama-sama terlibat di peringkat pelaksanaan.

Bendera Umno

Menyambut baik cadangan Pemuda Umno untuk menamakan bendera Umno sebagai Sang Saka Bangsa . Cadangan ini melambangkan penghayatan generasi muda terhadap asas dan sejarah perjuangan parti.

Gagasan kesebelas - Dasar luar

Mempertahankan kedaulatan negara, bangsa di peringkat antarabangsa. Kita kekal bebas dalam dasar luar tanpa pernah tunduk kepada tekanan atau terpaksa meminta bantuan pihak lain.

Gagasan keduabelas - perpaduan nasional

Membina perpaduan nasional. Semangat bersatu dalam perjuangan dan semangat berkongsi kuasa, adalah tunjang kekuatan negara bangsa; bermula dari peringkat merintis perjuangan kemerdekaan sehinggalah kepadea menguruskan sebuah negara merdeka yang berjaya.

Akhir-akhirnya meningkat polemik berhubung isu kaum dan agama. Ia telah sampai ke tahap yang mencetus kebimbangan. Antara faktor yang menjadi penyebabknya ialah persekitaran lebih terbuka hari ini yang membolehkan berlakunya perbahasan sehingga terlajak ke peringkat melanggar sempadan isu-isu sensitif menyentuh agama dan kaum.

Membincangkan perkara yang sensitif sifatkan perlu dilakukan secara rasional, dengan dada terbuka fikiran tenang, dalam semangat bersama mengambil tanggungjawab.

Mengingatkan jangan ada pihak yang mahu menguji ketegasan kerajaan dan jika keadaan memerlukan, kerajaan akan bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang yang ada demi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara tidak terjejas.

Mengingatkan perlembagaan negara jelas meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Islam adalah satu cara hidup yang relevan sepanjang masa.