Jangan jadi macam Pak Kadok, kata Pak Lah
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata memang benar Pelaburan Terus Asing (FDI) yang mengalir ke negara ini tidak seperti yang mengalir ke ekonomi serantau yang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata memang benar Pelaburan Terus Asing (FDI) yang mengalir ke negara ini tidak seperti yang mengalir ke ekonomi serantau yang lain.
Katanya, ini disebabkan oleh Malaysia tidak begitu terbuka kepada penggabungan dan pengambilalihan.
"Ada antara jiran kita mencatat angka FDI memberangsangkan kerana mereka membenarkan syarikat mereka diambil alih oleh pelabur asing," katanya dalam ucapan dasar di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini..
"Dari sudut ekonomi, tiada salahnya perkara ini kerana dalam pasaran yang efisien, modal akan mengejar aset bernilai terbaik. Tetapi di Malaysia, kita menetapkan beberapa dasar.
"Atas kepentingan nasional, penggabungan dan pengambilalihan diizinkan secara selektif. Atas kepentingan nasional, penguasaan aset strategik perlu dikekalkan," katanya.
Abdullah berkata, FDI boleh ditingkatkan berlipat kali ganda hanya dengan mencoret pena, menurunkan tandatangan persetujuan, tetapi akibatnya, negara akan kehilangan sebahagian kawalan.
"Jika ini dilakukan, saudara-saudari akan menjadi barisan pertama yang akan mengecam saya. Selagi Allah memberi saya petunjuk dan kekuatan, saya berjanji untuk sama sekali tidak akan membawa bangsa menerima nasib Pak Kadok menang sorak, kampung tergadai," tegasnya.
Rangsang pasaran saham
Mengenai pasaran saham pula, Abdullah berkata, jika mahu segera merangsang pasaran saham, beliau boleh mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri untuk melakukan penyenaraian Petronas dan Felda.
"Petronas secara bersendirian, dapat menambah RM400 bilion kepada modal pasaran saham Malaysia dan secara segera, meletakkan kita terus menjadi antara pasaran saham terbesar di Asia.
"Tetapi kita sama sekali tidak harus menggadaikan kepentingan strategik negara dan bangsa semata-mata untuk melihat kejayaan segera. Usaha menarik pelaburan dan usaha merancakkan pasaran saham secara mampan, tidak boleh mengikut cara memasak 'mi segera'," katanya.
Sebaliknya, tegas beliau, kerajaan akan memberi tumpuan kepada transformasi ekonomi secara lebih bermakna lagi berkekalan, berbanding dengan pendirian sesetengah pihak yang mahukan pencapaian segera.
"Langkah pertama yang saya ambil adalah untuk mengurangkan defisit. Dalam jangka panjang, kerajaan tidak mampu menanggung bajet defisit besar, iaitu berbelanja lebih dari pendapatan.
"Benar! Petronas ada wang, tetapi kita wajib mengamalkan disiplin, membezakan antara wang milik Petronas dan wang milik kerajaan.
"Jika kita mula menyeluk saku sesuka hati di mana sahaj, hingga menyeluk saku orang lain, kita sebenarnya melakukan perbuatan melanggar amanah, kita telah menyalahgunakan urus dana. Kita akan dianggap melaksanakan pentadbiran tanpa berpegang kepada prinsip akauntabiliti yang telus," tambahnya.
Defisit berkurangan
Melalui perbelanjaan secara berhemah, beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan berjaya mengurangkan defisit dari 5.3 peratus KDNK pada 2003 kepada 2.5 peratus KDNK pada 2006.
Sehubungan itu, Abdullah berkata, kerajaan mempunyai wang dan kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk berbelanja.
"Pada masa yang sama, kita turut berhadapan dengan faktor-faktor di luar kawasan kita. Harga minyak global yang lebih tinggi merupakan antara faktor yang menyebabkan inflasi. Harga barang menyusur naik.
"Kerajaan masih memberi subsidi tetapi apabila sampai ke tahap kritikal, kerajaan terpaksa mengambil keputusan mengurangkan.
"Keputusan sukar ini dilakukan untuk memastikan bajet pembangunan iaitu wang membina sekolah, hospital, jalanraya, bekalan elektrik dan air untuk rakyat, tidak habis digunakan funtuk subsidi," katanya sambil menambah kerajaan perlu memandang ke hadapan menangani masalah harga minyak dan gas yan tidak menentu.
Untuk itu, katanya, kerajaan secara serius telah memulakan penyelidikan bagi menghasilkan sumber tenaga alternatif seperti biofuel dalam rancangan mengurangkan pergantungan kepada bahan bakar tersebut.

