Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PH jemput kerana mereka bawa perubahaan di Melaka - Anwar
Diterbitkan:  Oct 20, 2021 1:39 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Majlis Pakatan Harapan (PH) meraikan empat Adun Melaka yang berpaling tadah adalah kerana mereka mengambil langkah untuk membawa perubahan di negeri itu sehingga menyaksikan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Umno-Bersatu, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada wartawan di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini, Anwar berkata, atas alasan berkenaan keempat-empat mereka diberikan sambuatan ibarat pahlawan yang hangat semasa majlis PH Melaka pada malam Isnin lalu.

“Kita jemput mereka dalam majlis malam itu kerana dia (mereka) yang mengambil langkah untuk membawa perubahan di Melaka dan masa itu PH Melaka menyokong (mereka).

“Jadi bagi kita sekadar ucapkan terima kasih kepada dia (mereka) itu saja tetapi soal pilihan raya itu soal lain pula,” kata Anwar selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Parlimen Port Dickson.

Pentadbiran BN-Perikatan Nasional (PN) di Melaka tumbang pada 4 Oktober lalu berikutan penarikan sokongan oleh keempat-empat Adun berkenaan ke atas Sulaiman Md Ali daripada menjadi ketua menteri.

Mereka adalah Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Benas-Pengkalan Batu).

Sulaiman tidak melepaskan jawatannya tetapi sebaliknya berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam untuk membubarkan dewan undangan negeri, bagimembuka jalan supaya pilihan raya diadakan.

Pada lewat petang Isnin, keempat-empat Adun itu tampil di majlis PH Melaka, dengan laporan media, menyebut mereka diberi "sambutan pahlawan".

Selepas perjumpaan dengan Anwar, pada malam tersebut, Idris memberi bayangan bahawa dia dan tiga Adun lain akan bertanding atas tiket PH pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti.

Layanan istimewa yang diberikan kepada keempat-empat Adun itu oleh PH Melaka dan Anwar itu menimbulkan rasa tidak puas hati oleh pemimpin akar umbi di seluruh negara, dengan alasan bahawa mereka bertanggungjawab ke atas kejatuhan kerajaan PH di Melaka tahun lalu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam secara terang-terangan berkata bahawa partinya tidak akan menerima jika Norhizam - bekas Adun DAP yang membelot tahun lalu - dinamakan semula sebagai calon untuk PH.

Ketika ditanya mengenai bantahan itu, Anwar mendakwa bahawa hanya DAP yang tidak bersetuju.

“Yang dibangkitkan oleh DAP tu seorang. Kita akan bincang.

“Apa-apa pun kita akan bincang dalam mesyuarat petang ini,” katanya.

Majlis presiden PH - badan pembuat keputusan tertinggi gabungan PKR-Amanah-DAP - akan bermesyuarat hari ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor.

Lihat Komen
ADS