Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idris Haron beri bayangan mahu tanding atas tiket PH
Diterbitkan:  Oct 19, 2021 10:46 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Idris Haron memberi bayangan bahawa dia dan tiga Adun lain akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka kelak.

Kata Idris, dia tidak boleh terlalu memilih parti mana yang akan disertainya  namun menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan PH untuk mementukan kedudukannya dalam gabungan tersebut.

“Saya cuma menaruh harapan kepada Pakatan Harapan,” katanya seperti dilapor portal malaysiagazette selepas menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, malam tadi.

Dalam ucapan di hadapan Anwar, bekas ketua menteri Melaka itu berkata dia menyerahkan nasibnya dan tiga lagi Adun iaitu Adun Pantai Kundor, Nor Azman Hassan, Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dan Adun Telok Mas, Noor Effandi Ahmad kepada PH.

“Kita tidak boleh memilih, maksud saya tadi biarlah PH yang memikirkan nasib kami sebab dalam konteks 15 orang (Adun PH tambah 4) ini sudah ada satu gabungan yang membentuk majoriti pada hari ini yang merupakan satu semangat yang kami dukung," katanya.

Ditanya parti mana dalam PH yang akan disertainya kelak, Idris berkata dia masih belum membuat sebarang keputusan.

Pada sidang media sama, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, segala keputusan mengenai empat Adun yang kini menyokong PH diserahkan kepada kepimpinan tertinggi gabungan itu.

“Belum ada sebarang perbincangan sebab kita dalam PH biasanya kita akan muktamadkan dalam Majlis Presiden PH di peringkat nasional,” jawab Adly.

Hari penamaan calon bagi PRN Melaka ditetapkan pada 8 November, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 20 November.

Lihat Komen
ADS