Umno dan orang Melayu mesti tegas tentang cubaan perlekeh kontrak sosial
Umno dan orang Melayu tidak boleh lagi bersikap pasif dan defensif terhadap golongan yang cuba mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam serta kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang termaktub dalam undang-undang.
Umno dan orang Melayu tidak boleh lagi bersikap pasif dan defensif terhadap golongan yang cuba mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam serta kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang termaktub dalam undang-undang.
Wakil Umno Melaka Hasnoor Sidang Hussein berkata telah tiba masanya ahli Umno serta orang Melayu bertindak tegas dan menentang cubaan sebarang pihak untuk memperlekehkan perkara-perkara yang terdapat dalam kontrak sosial yang dipersetujui bersama sejak merdeka lagi.
"Sikap orang Melayu yang sentiasa bertolak ansur terhadap golongan yang mencabar hak orang Melayu dan kesucian agama Islam membuatkan mereka semakin berani kerana merasakan tidak ada apa-apa akan berlaku jika mereka berbuat demikian," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, orang Melayu telah terlalu lama bersikap pasif dan bertolak ansur terhadap perbuatan sesetengah golongan orang bukan Melayu yang cuba merobek hak keistimewaan orang Melayu dan mencemarkan kesucian agama Islam.
"Sejak peristiwa hitam 1969 lagi, Umno dan orang Melayu telah terlalu banyak bersabar, bertolak ansur.
Amaran keras
"Mereka kini semakin lantang dengan membawa kes yang sepatutnya dibicarakan di mahkamah syariah ke mahkamah sivil dan berani mencadangkan agar ditubuhkan majlis perundingan agama yang akan hanya meletakkan agama Islam setaraf dengan agama-agama lain dari segi perlembagaan negara," katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bertindak tegas menolak cadangan penubuhan majlis itu dan mengeluarkan amaran keras kepada sesiapa yang cuba memainkan isu perkauman dan agama.
Beliau juga menegur sikap sesetengah profesional Melayu yang bersekongkol dengan golongan itu atas nama keadilan sosial dan liberalisasi dan menyeru mereka supaya kembali ke pangkal jalan.
Justeru, katanya, anggota Umno hendaklah berdiri teguh di belakang Presiden parti serta pemimpin Umno yang lain kerana Umno merupakan satu-satunya parti yang terus berjuang mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan kesucian agama Islam sejak penubuhannya.

