mk-logo
Berita
Mahkamah akan dengar permohonan k'jaan sekat PSI, Tarek guna AS$340 juta berkait 1MDB
Diterbitkan:  Oct 22, 2021 10:08 AM
Dikemaskini: 10:08 AM

Permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan lebih AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK), akan didengar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 6 dan 9 Dis ini.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar perkembangan terkini berhubung kes berkenaan daripada Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed.

“Pengurusan kes berikutnya adalah pada 11 Nov dan sebarang afidavit selanjutnya atau jawapan afidavit perlu difailkan pada atau sebelum 10 Nov. Tidak ada lagi afidavit seterusnya selepas 10 Nov,” katanya.

Terdahulu Budiman berkata firma guaman Clyde & Co LLP di UK telah memaklumkan kepada pihak pendakwaan secara bertulis bahawa firma guaman itu tidak berhasrat untuk memberi maklum balas kepada afidavit pihak pendakwaan yang diserahkan kepada mereka.

Pada prosiding 8 Okt lepas Budiman memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyampaikan dokumen berkenaan kepada tiga entiti asing yang disebut dalam permohonan itu, yakni Petrosaudi International Limited di Arab Saudi serta dua syarikat yang berpangkalan di London, yakni Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services Ltd, yang sekali gus mengakibatkan mereka memerlukan masa untuk mengesahkan sekiranya pihak berkenaan akan memberi maklum balas dan menfail afidavit terhadap dokumen yang diserahkan kepada mereka.

Susulan itu hakim Ahmad Shahrir menangguhkan pendengaran yang asalnya ditetapkan pada 8 Okt.

Peguam Alex Tan dan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden masing-masing mewakili anak syarikat PSI dari Amerika Selatan, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (PSOS-VZ) dan Tarek Obaid.

Pada 16 Julai tahun lepas mahkamah membenarkan permohonan kerajaan untuk perintah interim bagi menyekat pihak berkenaan daripada memindahkan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di UK, ke entiti lain.

Perintah interim itu bagi mengekalkan status quo pihak-pihak terlibat sehingga selesai permohonan sekatan oleh kerajaan yang memohon perintah untuk menyekat sebarang urusan mengenai wang milik PSI dan PSOS-VZ yang kini berada di akaun escrow yang dipegang oleh Clyde & Co LLP di UK.

Selain AS$340 juta itu, kerajaan juga memohon wang tidak ditentukan yang disimpan di bawah nama akaun perantaraan, Temple Fiduciary Services Limited, di Barclays Bank, UK.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amlatfpuaa) yang menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima.

- Bernama

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini