Mengedar draf usul bahawa Umno perlu meneruskan kerjasama dengan parti-parti politik bumiputera lain hanya sekadar pandangan, kata Ketua Umno bahagian Arau Shahidan Kassim.

Menurutnya, adalah tidak salah memberi pandangan demi kebaikan masa depan parti.

"Ini adalah pandangan, tidak ada salah mengeluarkan pandangan. Orang nak keluarkan pandangan, kita hukum mereka, mesyuarat cawangan pun belum diadakan ini cuma pandangan yang dilemparkan oleh Umno Arau.

"Apakah beri pandangan itu satu kesalahan? Tapi kalau kita beri setelah keputusan dibuat oleh pengurusan agar tidak boleh membuat pandangan, kita patuh," katanya kepada pemberita di sidang media majlis sesi penyerahan kunci di Seputeh, Kuala Lumpur.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas aduan oleh Pemuda Umno bahagian Arau bahawa Shahidan melanggar disiplin ketika dalam sebuah majlis parti itu baru-baru ini kerana mengedarkan kertas yang bertajuk "Usul Umno Cawangan-cawangan".

Catatan pada kertas itu antara lain "menggesa agar Umno meneruskan kerjasama dengan parti-parti politik bumiputera yang lain."

Dalam aduan ditujukan kepada Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, Ketua Pemuda Umno Arau Syed Atif Syed Abu Bakar mendakwa Shahidan secara jelas melanggar disiplin ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Cawangan Bahagian Arau pada 17 Oktober jam 9 malam di Pusat Khidmat Kubang Gajah.

Menurutnya, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau turut mengibarkan bendera Bersatu bersama-sama bendera Umno sebagai hiasan di ruang majlis perasmian.

Bagaimanapun, Shahidan menafikan bahawa dia melanggar disiplin.

"Kita patuh kepada arahan tapi setakat beri pandangan, semua orang beri pandangan cumanya cakap-cakap di kedai kopi. Sesetengah beri pandangan di coffee house, saya beri pandangan dalam mesyuarat dan pandangan itu bukan dari saya tapi cadangan daripada sebuah cawangan Umno Arau yang dibentangkan dan dibuat keputusan.

"Tapi, keputusan itu saya ingat ada MT (Majlis Tertinggi) yang kata keputusan itu telah overrule (ditolak) dengan keputusan itu kita ikut, kita bukan nak berlawan dengan orang.

"Saya jarang berlawan dengan orang, tapi kalau nak melaporkan sesuatu yang tidak betul, terpulang," katanya.

Untuk rekod, Perhimpunan Agung Umno telah mengambil keputusan untuk tidak bekerjasama dengan parti Bersatu.

Bagaimanapun, Shahidan antara pemimpin dilihat sebagai cuba memujuk akar umbinya untuk menerima Bersatu.

Terdahulu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merasmikan majlis sesi penyerahan kunci kepada pembeli rumah di Residensi Desa Satumas, Seputeh, Kuala Lumpur.

Dibina oleh Aset Kayamas Sdn Bhd, Residensi Desa Satumas ini menawarkan sebanyak tiga blok bangunan berketinggian 43 tingkat yang terdiri daripada 1,346 unit pada harga serendah RM230,000.

Sehingga September 2021 terdapat 62,701 unit rumah mampu milik melibatkan 100 projek yang telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan dengan 93 buah projek di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.