mk-logo
Berita
Macam manapun carilah formula dua penjuru - Dewan Ulama PAS Kelantan
Diterbitkan:  Oct 24, 2021 12:20 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Hassan Mohamood menyuarakan harapan supaya partinya, Umno dan Bersatu dapat mencari jalan bekerjasama dalam menghadapi PRN Melaka dan PRU15 akan datang.

"Berpakat membawa rahmat dan kemenangan manakala berpecah membawa kekalahan dan kesengsaraan," katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Kelantan ke-50 di Kompleks Pendidikan Islam di Kota Bharu hari ini.

"Kita mengharapkan kepada kepimpinan parti-parti Melayu Islam di Malaysia. Khususnya pimpinan parti kita PAS, parti Umno, parti Bersatu, kita mengharapkan para pemimpin kita dalam keadaan macam manapun dapat mencari formula, khususnya untuk menghadapi pilihan raya di negeri Melaka.

"Walaupun mereka berselisih pendapat, kita mengharapkan pemimpin-pemimpin di kalangan politik Melayu Islam, sabarlah, bersatulah menghadapi pilihan raya," jelasnya.

Hassan juga mengingatkan semua ahli PAS supaya mengamalkan sikap berlapang dada dan bersangka baik dengan Umno dan Bersatu "sekiranya ingin meraih kemenangan dalam PRU15."

Menurutnya PAS perlu berjiwa besar menjadi pendamai dalam agenda perpaduan ummah.

"Kita mesti menjadi orang tengah untuk memperkukuh hubungan antara parti-parti politik Melayu, PAS, Umno dan Bersatu.

"Jangan keluar daripada kita ulama (PAS) ucapan-ucapan yang memecah belah," tegasnya.

Ucapan Hassan itu mengupas salah satu usul Dewan Ulama PAS Kelantan hari ini, mengenai gesaan supaya PAS Pusat meluaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) merentasi parti politik agar PRU15 nanti hanya berlaku pertandingan antara dua penjuru sahaja.

Dewan Ulama PAS Kelantan hari ini meluluskan 10 usul termasuk seluruh ahli Dewan Ulama PAS setiap kawasan dapat mengeluarkan infak RM1 untuk disumbangkan kepada Dewan Ulama Pas Negeri setiap bulan, selain menaikkan elaun pegawai halakat di seluruh negeri sesuai dengan tuntutan semasa.

Selain itu, Dewan Ulama negeri itu juga mengusulkan supaya mewujudkan pasukan petugas khusus kepada pengundi baru berusia 18 tahun bagi menarik minat mereka agar peduli kepada agama dan negara.

Jelas Hassan, pada PRU15 nanti akan disertai pengundi baru yang terdiri daripada golongan berumur 18 tahun dan ke atas.

“Angka yang kita peroleh daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah 5.8 juta pengundi muda seluruh negara.

"Bilangan tersebut tidak termasuk golongan dewasa yang selama ini tidak pernah mendaftar sebagai pemilih dalam PRU sebelum ini.

"Dengan berlakunya situasi begini maka kita perlu pastikan pengundi muda yang akan mengundi dalam PRU15 nanti benar-benar memberi sokongan mereka. Malah, dengan adanya 'pasukan petugas’ ini nanti sekurang-kurangnya ia dapat menarik minat mereka agar peduli kepada negara dan agama,” katanya lagi.

Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan yang dihadiri 115 ahli daripada perwakilan seluruh negeri itu ditangguhkan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

 

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini