Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya kesal dengan Idris, kata ketua bahagian Umno Tangga Batu
Diterbitkan:  Oct 24, 2021 9:12 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Mesyuarat Umno Cawangan Klebang Kechil yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian, demikian menurut Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Beliau mendakwa ia susulan terdapat insiden kekecohan yang berlaku sebelum mesyuarat yang dijadual berlangsung 11 pagi tadi itu bermula, apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron muncul sebelum mesyuarat bermula.

“Sebagai Ketua Bahagian, saya kesal dan kekesalan saya (itu) kerana saya merasakan dia (Idris) tidak faham atau tidak mengerti prinsip sebagai orang yang mengetuai sesuatu parti,” katanya kepada pemberita di Melaka, hari ini.

Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad.

Idris bersama bekas Adun Pantai Kundur Datuk Nor Azman Hassan telah dipecat keahlian dalam Umno selepas bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang seterusnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas.

Dua lagi bekas Adun yang bersama mereka menarik sokongan adalah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

- Bernama

Lihat Komen
ADS