Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
92 kematian Covid-19 dilaporkan semalam
Diterbitkan:  Oct 26, 2021 8:17 AM
Dikemaskini: 12:17 AM

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 92 kematian akibat Covid-19 semalam (25 Okt), menjadikan jumlah kumulatif kematian 28,492.

Malaysia ialah empat negara berprestasi paling teruk di Asia dalam jumlah kematian per kapita Covid-19 selepas negara di Timur Tengah - Iran, Lubnan dan Jordan.

Daripada kematian yang baru dilaporkan semalam, 12 peratus atau 11 korban meninggal dunia sebelum mereka menerima rawatan di hospital.

Johor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu 20, membentuk 21.7 peratus daripada kematian yang baru dilaporkan.

Korban selebihnya di Pulau Pinang (14), Sarawak (14), Kelantan (12), Perak (8), Sabah (8), Selangor (4), Negeri Sembilan (3), Kuala Lumpur (3), Kedah (2), Melaka (2) dan Terengganu (2).

Tiada kematian baru dilaporkan di Pahang, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

 

Sebanyak 78 daripada 92 kematian yang dilaporkan atau 84.8 peratus berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 111 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 71, menunjukkan trend menurun.

Sehingga kini, 2,284 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 9,680 kematian Covid-19 dilaporkan pada September, 7,642 pada Ogos, 3,858 pada Julai dan 2,380 pada Jun.

Setakat semalam, terdapat 73,223 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 19 peratus daripada 90,441 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 61.8 peratus daripada 191,435.

 

Jangkitan berkaitan kluster

Kemas kini selepas tengah malam Kementerian Kesihatan juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baru Covid-19 semalam.

Daripada 4,782 kes baru semalam, sebanyak 109 daripadanya berkaitan kluster Covid-19 yang masih aktif.

Daripada kes berkaitan kluster, 66 (60.6 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 21 (19.3 peratus) adalah dari institusi pendidikan.

Dua belas lagi (11 peratus) adalah daripada kluster yang dikaitkan dengan penularan komuniti.

Baki kes dikesan kepada kluster adalah berkaitan dengan acara keagamaan (5 - 4.6 peratus) dan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua (5 - 4.6 peratus).

Lihat Komen
ADS