Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq kesal ahli Muda dikompaun tapi Umno, PN tak kena
Diterbitkan:  Oct 27, 2021 10:11 PM
Dikemaskini: 2:21 PM

Presiden Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan rasa kesal apabila ahli parti itu dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 selepas mengadakan satu sidang media di Melaka hari ini.

Syed Saddiq berkata hanya lima orang hadir pada sidang media itu yang diadakan di kawasan terbuka, malah mereka juga menjaga penjarakan fizikal.

Bagaimanapun katanya, majlis anjuran Umno dan Perikatan Nasional yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

"Kami buat PC di kawasan "open air" selama 10 minit dengan kehadiran x5 orang sahaja (social distancing), tetap kena kompaun.

"PN/Umno buat majlis dengan ratusan orang di dewan tertutup, tak pakai mask, no social distancing, tak kena kompaun.

"Ini mengarut," katanya di twitter.

Terdahulu, media melaporkan seorang ahli Muda, Amira Aisya dikompaun RM4,000 oleh polis kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Sidang media selama 10 minit itu diadakan bagi mengumumkan keputusan parti itu untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Syed Saddiq turut memuat naik gambar yang menunjukkan majlis anjuran Umno di Melaka pada 23 Okt lepas, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak.

Gambar-gambar berkenaan menunjukkan tiada penjarakan fizikal di kalangan mereka yang hadir, manakala 12 orang dikesan tidak memakai pelitup muka atau tidak memakainya dengan betul.

Melaka kini berada di bawah fasa keempat Pelan Pemulihan Negara.

Berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelitup muka mesti dipakai dengan betul apabila berada di tempat awam.

Majlis rasmi dan persendirian boleh diadakan di negeri di bawah Fasa 4, tetapi tertakluk kepada kapasiti tempat dan keperluan penjarakan fizikal.

Berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19 berulang seperti berlaku selepas PRN Sabah tahun lalu, Kementerian Kesihatan melarang semua aktiviti perhimpunan fizikal dan acara sosial sepanjang tempoh PRN Melaka.

Larangan itu berkuat kuasa dari 25 Okt hingga 27 Nov.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 8 Nov.

Lihat Komen
ADS