Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mengapa Malaysia tak hulur tangan ke Taliban, tanya Pemuda PAS

MUKTAMAR PEMUDA PAS | Pemuda PAS mencadangkan agar Putrajaya menghulurkan tangan diplomatik untuk mengukuhkan hubungan di antara Malaysia dan Kabul yang kini ditadbir Taliban.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata adalah sesuatu yang “membingungkan” apabila negara umat Islam sekarang masih “terkial-kial” ketika negara komunis China sudah pun mengadakan rundingan peringkat tertinggi dengan kerajaan Afghanistan.

Bahkan, katanya, China juga menyalurkan dana yang banyak kepada Taliban untuk mengukuhkan Inisiatif Lingkaran dan Laluan (BRI) di Afghanistan.

“Apakah dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban yang baru ini?

“Pemuda PAS mencadangkan kepada kerajaan Malaysia untuk memula dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan pemerintahan Taliban.

“Ini berasaskan rekod prestasi (track record) Malaysia yang mempunyai skil diplomatik aras tinggi dan diyakini mampu mengakomodasi penerimaan komuniti antarabangsa terhadap Afghanistan melalui tadbir urus yang inklusif dan kesyumulan islam.

“Konflik berterusan tak akan menguntungkan sesiapa, melainkan segelintir kompleks industri ketenteraan (military industrial complex), yang dahagakan darah demi tembolok mereka sahaja.

“Jika China komunis boleh menghulurkan tangan untuk Afghanistan di bawah Taliban, mengapa tidak kita, Malaysia, sebagai saudara seislam?” katanya.

Kaji dengan teliti

Khairil Nizam berkata demikian ketika menyampaikan ucapan utama dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pada 21 Sept lalu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata di Dewan Rakyat Malaysia mengambil pendirian berhati-hati dan sedang meneliti perkembangan terkini di Afghanistan selepas menguasai negara itu pada Ogos lalu. 

Katanya sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban termasuk negara jiran Afghanistan.

Malah, menurut Saifuddin terdapat beberapa pertimbangan atau faktor yang perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad mengiktiraf kerajaan tersebut.

Sementara itu, menyentuh mengenai perpaduan, Khairil Nizam berkata PAS tetap konsisten melapangkan dada untuk menjemput Umno dan Bersatu serta NGO dan individu tertentu menerima prinsip dibawa mereka.

Katanya lagi landskap politik negara juga berubah secara drastik apabila Undi18 dilaksanakan dan generasi muda akan menjadi penentu dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu, katanya, Sekretariat Pengundi Muda Pemuda PAS yang diketuai Ahmad Fadhli Shaari telah merangka pelan inisiatif Undi18.

“Tawaran baru pemuda PAS yang dipakejkan elemen politik dakwah perlu berani mencabar status quo - keluar dari kebiasaan silo dan eksklusif.

“Kita harus mengkaji dengan teliti politik identiti golongan Undi18 agar tawaran yang diberikan tepat dan betul,” katanya.

Lihat Komen
ADS