mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim disoal, kenapa tak hadir sidang perubahan iklim PBB?
Diterbitkan:  Oct 31, 2021 12:30 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man disoal kenapa dia tidak hadir Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26) yang sedang berlangsung di Glasgow, Scotland.

Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok berkata ini memandangkan rakan sejawatan Tuan Ibrahim dari negara lain sekarang berada di COP26 untuk berbincang cara menangani perubahan iklim.

"Bagaimanapun, Tuan Ibrahim bukan sahaja tidak hadir pada persidangan itu, malah perhatiannya di dalam negara bukan terhadap perubahan iklim tetapi nama jenama wiski tempatan," kata Kok, bekas menteri industri utama yang bertanggungjawab terhadap industri minyak sawit Malaysia.

"Apakah tanggungjawab menteri alam sekitar dan air? Adakah nama jenama wiski tempatan menyumbang kepada mengurangkan pelepasan karbon dan menangani pencemaran air," soalnya yang juga ahli parlimen Seputeh.

COP26 merupakan persidangan tahunan yang mana kerajaan-kerajaan menandatangani perjanjian untuk mengekalkan suhu global menjelang hujung abad ini di bawah 2 darjah Celsius berbanding tahap sebelum zaman industri.

Kegagalan berbuat demikian akan menjadi malapetaka akibat kenaikan paras laut, jaminan makanan yang lebih rendah, pengeluaran perikanan yang merosot dan konflik.

Gambar fail, Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok.

Selaku penandatangan Perjanjian Paris 2015, Malaysia telah berjanji untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus daripada paras 2005 menjelang 2030.

Memenuhi sasaran Perjanjian Paris 2015 akan melayakkan Malaysia mendapat geran yang boleh digunakan ke arah usaha lain untuk membendung pelepasan karbon.

Semalam, Tuan Ibrahim memberitahu mesyuarat perwakilan tahunan sayap Pemuda PAS, atau muktamar, bahawa kabinet telah memutuskan bahawa produk yang boleh menyebabkan "keresahan rakyat" tidak boleh dijual.

"Kabinet telah buat keputusan bahawa tidak boleh mana-mana pengeluaran yang mengeluarkan apa-apa pengeluaran boleh menimbulkan keresahan rakyat termasuk dalam konteks bangsa ataupun agama," katanya.

Jelasnya lagi, keputusan kabinet itu adalah hasil daripada apa yang dibantah oleh PAS dalam kerajaan.

"Hasil daripada apa yang kita buat, kita bantah, alhamdulillah, hari ini kita tengok sebenarnya mereka menggunakan isu ini untuk menyerang PAS, tapi akhirnya dijadi backfire kepada mereka balik," katanya ketika berucap kepada perwakilan.

Lihat Komen
ADS