Zahid: Melayu tidak marah kalau hak istimewa tidak diusik
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zahid Hamidi berkata, perwakilan Umno tidak akan "menyerang" atau menyakitkan hati kaum jika hak istimewa orang Melayu dan kontrak sosial yang telah dipersetuju tidak dipersoal oleh kaum lain.
Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zahid Hamidi berkata, perwakilan Umno tidak akan "menyerang" atau menyakitkan hati kaum jika hak istimewa orang Melayu dan kontrak sosial yang telah dipersetuju tidak dipersoal oleh kaum lain.
"Jurucakap Umno tidak akan memperkatakannya jika Gerakan dan beberapa pihak yang mewakili masyarakat Cina tidak membangkitkan soal kontrak sosial dan hak-hak istimewa orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zahid yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mengulas kenyataan Presiden Gerakan yang tidak puas hati dengan bahasa yang digunakan beberapa perwakilan Umno dalam membahaskan isu kepentingan kaum pada perhimpunan Agung Umno minggu lalu.
Menurut beliau, kenyataan Dr Lim itu boleh boleh mengundang polemik antara masyarakat.
Menurut laporan Bernama, Dr Lim semalam melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap bahasa yang digunakan sesetengah perwakilan ketika berbahas di perhimpunan agung Umno itu.
Menurut beliau, perwakilan Umno tidak wajar "menyerang" atau menyakitkan hati kaum lain dalam menyuarakan kepentingan sesuatu masyarakat.
Sehubungan itu, Dr Lim mahu Gerakan menyediakan garis panduan mengenai perbahasan untuk persidangan perwakilan kebangsaan parti itu tahun depan bagi mengelak adanya serangan atau tindakan menyakiti perasaan mana-mana masyarakat.
Mengulangi peringatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya perasaan orang Melayu tidak diusik, Zahid berkata jika diusik maka berlakulah reaksi sebagaimana yang diucapkan beberapa jurucakap Umno negeri semasa perhimpunan agung Umno itu.
"Saya menyeru semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional agar lebih menjaga sensitiviti orang Melayu dan jangan pertikaikan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin terdahulu," katanya.
Zahid berkata amanat Perdana Menteri pada perhimpunan agung itu iaitu "panas jangan sampai membakar, marah jangan sampai berkelahi", harus dihayati semua pihak.
Semangat setiakawan dalam permuafakatan Barisan juga, katanya, harus dipertahankan dan jangan ada mana-mana pihak cuba untuk melontarkan pandangan yang mengundang masalah.
Di samping itu, beliau berharap Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan segera memperjelaskan isu yang dibangkitkan Umno kepada pemimpin Barisan agar ia tidak berpanjangan.

