Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan Kelantan benarkan konsert rock
Diterbitkan:  Nov 20, 2006 2:17 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Kerajaan PAS Kelantan akhirnya akur dengan kehendak semasa, dengan membenarkan konsert hiburan termasuk oleh kumpulan rock diadakan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Takiyuddin Hassan berkata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah bersetuju membuka peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan, persatuan atau orang perseorangan yang hendak menganjurkan konsert.

"Kita mengalu-alukan dan sedia memberi peluang kepada mana-mana pertubuhan, persatuan atau orang-orang perseorangan yang ingin menganjurkan konsert di negeri ini," katanya kepada pemberita pada Konsert Terbuka Hotlink di Kota Bharu malam tadi sempena ulangtahun pertama pengisytiharan Kota Baharu Bandaraya Islam.

Menurut laporan Bernama, sebelum ini konsert hanya boleh dianjurkan oleh kerajaan negeri. Konsert yang diadakan malam tadi adalah yang ketiga dianjurkan kerajaan negeri itu. Ia dihadiri kira-kira 15,000 penonton dengan menampilkan beberapa artis termasuk Mawi, InTeam, Haziq dan Hazama serta pelawak kumpulan Salam Pantai Timur.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata beberapa syarat perlu dipatuhi oleh penganjur terbabit termasuk daripada segi pemakaian, lagu yang dipersembahkan dan tidak bercampur antara lelaki dan perempuan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedia menerima mana-mana kumpulan rock untuk datang mengadakan persembahan dengan syarat tidak melampaui batas yang ditetapkan.

"Tidak semua rock itu negatif, ada juga positif, kita ambil yang positif untuk dipersembahkan kepada orang ramai," katanya.

Kerajaan PAS Kelantan "menutup" sepenuhnya persembahan kebudayaan dan hiburan sejak memerintah negeri itu pada 1990 dengan alasan terdapat unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan akidah Islam.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini beberapa permainan tradisional seperti wayang kulit dan dikir barat diberi kelonggaran untuk mengadakan persembahan dengan syarat tidak terdapat unsur-unsur tahyul dan "kotor" yang boleh merosakkan akhlak manusia.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri juga sedia menimbang diadakan persembahan Mak Yong dan Puteri kepada orang ramai dengan syarat tidak mencampur-adukkan unsur-unsur tahyul dan khurafat yang diamalkan dalam seni itu.

"Kalau ada pengiat seni yang boleh beri pandangan kepada saya...kalau boleh buatlah kajian cara mana persembahan itu hendak dilakukan agar tidak bercanggah dengan agama kita," katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS