Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN bertanding solo, tiada lagi isu kerjasama dengan sesiapa - Mat Hasan
Diterbitkan:  Nov 6, 2021 11:14 AM
Dikemaskini: 9:20 AM

PRN MELAKA | BN akhirnya meletakkan noktah kepada teka-teki tentang kemungkinan kerjasama dengan parti-parti lain dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan datang.

Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Mohamad Hasan memaklumkan bahawa BN akan bertanding secara solo dan menggunakan logo sendiri, serta tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain dalam PRN yang dijadualkan pada 20 November itu.

“BN pergi bersendirian.

“Saya ulang sekali lagi, tidak ada lagi soal jawab sama ada nak bersama dengan siapa-siapa,” katanya dalam sidang media pengumuman calon-calon BN yang turut disiarkan dalam talian.

Pada sidang media itu, Mohamad mengumumkan Umno akan menurunkan seramai 20 calon, MCA mempertaruhkan tujuh calon, manakala MIC meletakkan seorang calon untuk bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka. 

Sebelum ini, tidak jelas mengenai soal kerjasama antara BN dan gabungan parti lain - iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

PN dianggotai Bersatu, PAS dan beberapa lagi parti di Sabah dan Sarawak, manakala MN merupakan kerjasama antara Umno-BN dan PAS.

Hubungan yang retak antara Umno dan parti serpihannya, Bersatu menyukarkan kerjasama berkenaan.

Bulan lalu, Pengerusi PN, Muhydidin Yassin dan Presiden BN Ahmad Zahid Hamidi - mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan kedua-dua gabungan itu sudah berpatah arang antara satu sama lain bagi menghadapi PRN Melaka.

Namun, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin lain memberi bayangan bahawa pintu rundingan masih terbuka untuk kedua-dua gabungan bekerjasama.

PAS yang dilihat sebagai "orang tengah" pula membayangkan kemenangan besar jika ketiga-tiga parti itu berganding bahu.

Pada 2 Nov lalu, PAS memutuskan untuk menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka.

Lihat Komen
ADS