mk-logo
Berita
Kabinet izin nama Timah pada wiski dikekalkan
Diterbitkan:  Nov 13, 2021 3:31 PM
Dikemaskini: Nov 14, 2021 4:49 AM

Kabinet bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan, Timah, untuk mengekalkan nama berkenaan di sebalik bantahan sesetengah pihak.

Perkara itu dimaklumkan dua menteri, iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Alexander dan Wee menyatakan pengeluar wiski berkenaan, Winepark Corp Sdn Bhd (Winepark), cuma perlu meletakkan maklumat tambahan berupa label bagi menjelaskan bahawa minuman keras itu merujuk kepada bijih timah dan bukannya nama sesiapa.

Dalam satu kenyataan berbahasa Cina di laman Facebooknya hari ini, Wee yang juga presiden MCA berkata kabinet telah menyelesaikan kontroversi itu.

“Dalam beberapa mesyuarat kabinet baru-baru ini, anggota jemaah menteri membincangkan perkembangan terkini isu Timah.

“Saya gembira insiden ini berjaya diselesaikan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Timah tidak perlu menukar namanya. Pengilang telah bersetuju untuk memasukkan penjelasan tentang asal usul (nama) Timah. Maksud asal Timah merujuk kepada bijih timah - yang berkaitan dengan perlombongan bijih timah,” katanya.

Wee juga menyalahkan parti komponen Pakatan Harapan (PH), Amanah, kerana menggunakan kontroversi Timah untuk mencetuskan sentimen perkauman dan agama.


Baca 'Bukan kerajaan keluarkan arak Timah'


Namun isu minuman keras itu turut dibangkitkan PAS yang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Pada 18 Okt Dewan Ulama PAS Pusat mencadangkan menutup syarikat pengeluar Timah dengan alasan untuk mengelakkan duluan sehingga menyebabkan munculnya syarikat lain mengeluarkan minuman keras baru.  

Wee turut berterima kasih kepada Alexander kerana "bekerjasama" dengannya dalam isu itu.

Sementara itu, Alexander yang dipetik Sinchew Daily memberitahu, dia berjumpa dengan pengeluar alkohol terbabit dan berbincang mengenai cara menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya kemudian membentangkan cadangan syarikat itu kepada kabinet, kabinet bersetuju dengannya," Alexander dipetik sebagai berkata.

Bertentangan kenyataan menteri PAS

Justeru, ahli parlimen Kapit, Sarawak itu berharap kontroversi mengenai wiski Timah dapat dihentikan.

"Saya telah cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Sebelum ini, isu wiski berkenaan menarik perhatian sesetengah pihak apabila ia didakwa "menghina Islam". 

Naratif dibawa mereka termasuk mendakwa ia merujuk kepada anak Nabi Muhammad SAW, selain logo pada botol tersebut dikatakan menyerupai lelaki Islam kopiah.

Bagaimanapun Winepak telah menjelaskan lelaki tersebut ialah Kapt Tristram Speedy yang dilantik sebagai kolonial untuk memulihkan keadaan semasa di Perak.

Perak merupakan salah satu lokasi pengeluar utama bijih timah dunia.

Akhir Oktober lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan kabinet membuat keputusan bahawa sebarang pengeluaran minuman keras di negara ini tidak boleh menimbulkan “keresahan rakyat” dalam konteks bangsa atau agama.

Menurut Tuan Ibrahim, keputusan itu dicapai kerajaan berdasarkan usaha yang dilakukan PAS dalam menyatakan bantahan mereka terhadap penggunaan nama Timah.

Bagaimanapun, kenyataan Tuan Ibrahim itu bertentangan dengan Alexander apabila menyatakan menteri terbabit memberitahu belum ada sebarang keputusan dibuat kabinet berhubung kontroversi berkenaan.

Memberikan reaksi kepada kenyataan Tuan Ibrahim itu, Alexander berkata kabinet hanya membincangkan isu berkenaan namun tiada sebarang keputusan muktamad dibuat.

Menurut laporan hari ini, Alexander juga tidak menjelaskan secara teperinci berhubung imej minuman keras itu yang menjadi kontroversi oleh pihak tertentu.

Laporan berkenaan juga tidak menyatakan sebarang keputusan kabinet mengenai logo wiski Timah.

Sebelum ini Winepak dilaporkan bersetuju untuk berunding dengan pemegang saham dan lembaga pengarahnya untuk mendapatkan pandangan mereka bagi mengubah nama dan logo pada produk tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS