Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dewan Ulama PAS gesa tutup kilang arak Timah
Diterbitkan:  Oct 18, 2021 12:57 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Susulan kontroversi membabitkan pengeluaran arak jenama Timah, Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan persekutuan bagi menangani isu tersebut.

Ia termasuklah menutup syarikat pengeluar berkenaan bagi mengelakkan kemunculan lebih banyak pengeluar minuman keras yang baru.

Ketua penerangannya Mohd Nor Hamzah berkata sejak kemunculan berita mengenai minuman keras ini, ramai di kalangan warganet melontarkan kritikan dan kecaman kepada PAS selaku salah satu parti komponen kerajaan persekutuan.

Katanya, DUPP ingin mencadangkan beberapa langkah yang perlu dibuat oleh Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu ini.

"Pertama kerajaan persekutuan perlu melakukan semakan latar belakang dan ketekunan wajar (due diligence) bagi syarikat ini.

"Kedua, kerajaan perlu mengambil langkah tegas dengan menutup syarikat pengeluar minuman keras ini bagi mengelakkan duluan (precedent) yang menyebabkan kemunculan syarikat-syarikat pengeluar minuman keras yang baru," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu netizen mempersoalkan pengeluaran wiski tersebut ketika PAS kini menjadi sebahagian daripada parti yang memerintah, dan sesetengah pihak mendakwa Malaysia kini ditadbir oleh kerajaan Melayu Islam.

Syarikat pengeluar arak tersebut semalam menjelaskan jemana Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu.

Ia dilancarkan secara rasmi pada 7 Okt lalu oleh Pengarah Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.

Sementara itu Mohd Nor berkata, kerajaan juga perlu memastikan sebarang iklan dan promosi minuman keras oleh mana-mana syarikat hendaklah dipantau mengikut garis panduan larangan mempromosi minuman keras dan alkohol seperti termaktub dalam Bahagian 3, Kod Kandungan mengenai Iklan, Perenggan 8.5 (Iklan Khusus Lain),Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan).

"Kerajaan persekutuan juga perlu memperkemaskan pemantauan dan penguatkuasaan dari pihak berkuasa seperti dari Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya ia tidak berulang lagi selepas ini," katanya.

Tambahnya lagi, mengikut maklumat yang diperoleh, jenama Timah didaftarkan melalui MyIPO (akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia) pada 6 Ogos 2019.

"Nama Timah juga telah diletakkan pada jenama arak ini sempena komoditi bijih timah yang pernah menjadi sumber pendapatan negara pada masa dahulu," kata Mohd Nor.

Pembuat wiski Timah, dalam satu kenyataan sebelum ini mengatakan bahawa gambar lelaki pada botol itu adalah Kapten Tristram Speedy, seorang pegawai Inggeris semasa penjajahan British di Tanah Melayu.

"Lelaki di botol kami, Kapten Speedy, adalah salah seorang lelaki yang memperkenalkan budaya wiski ketika itu," katanya.

"Sebarang tafsiran nama kami yang tidak berkaitan dengan perlombongan Malaysia adalah palsu," tambah syarikat wiski itu.

Ia juga menekankan bahawa produknya bertujuan untuk orang bukan Islam yang cukup syarat umur untuk membeli alkohol.

Lihat Komen
ADS