Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menangguhkan sekali lagi upacara angkat sumpah ahli MPK untuk penggal 2006-2008. Sebelulm ini, majlis tersebut dijadual berlangsung Jumaat ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MPK memaklumkan upacara itu telah ditunda kepada 30 November depan bagi bagi membolehkan kesemua 18 ahli majlis menghadirinya.

Menurut Yang Dipertua MPK Abdul Bakir Zin, beliau memutuskan untuk menangguhkan upacara tersebut bagi membolehkan pihaknya memperkemaskan senarai dan status Anggota Majlis serta bidang tanggungjawab mereka.

"Hasrat kita biarlah semua (18) dapat angkat sumpah sekali. Biarlah tangguh, lagipun hanya beberapa hari sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut laporan media hari ini, dua ahli MPK berkemungkinan "terlepas" upacara angkat sumpah Jumaat ini kerana masih belum dapat menyelesaikan masalah masing-masing.

Pada mulanya majlis angkat sumpah ahli MPK sepatutnya berlangsung pada 19 Oktober lalu tetapi ditangguhkan berikutan kontroversi yang timbul melibatkan beberapa orang daripada mereka.

Lepas sidang DUN

Dua ahli majlis untuk penggal terdahulu, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Datuk Zakaria Md Deros dan Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar Faizal Abdullah melepaskan jawatan sebagai ahli MPK setelah mereka didakwa membina rumah tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Masalah yang melibatkan seorang lagi ahli, Datuk Mazlynoor Abdul Latiff, yang turut dikesan melanggar peraturan membina rumah tanpa kelulusan, bagaimanapun telah diselesaikan.

Abdul Bakir berkata, beliau telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud, yang kini berada di Riau, Indonesia, mengenai penundaan majlis itu.

Katanya, beliau mencadangkan tarikh 30 November yang dilihat bersesuaian kerana mahukan upacara angkat sumpah itu diadakan selepas selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri selesai.

Persidangan Dewan Undangan Negeri bermula Isnin depan.