Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Amat rugi jika masyarakat bukan Melayu tak ada wakil dalam k'jaan Melaka'

Ketua Perikatan Nasional (PN) PN Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen berkata adalah satu kerugian bagi masyarakat bukan Melayu jika mereka tidak mempunyai wakil dalam kerajaan Melaka akan datang.

Rafiq berkata ramai dalam kalangan masyarakat bukan Melayu sebelum ini menyokong Pakatan Harapan (PH) tetapi dia percaya gabungan itu kini tidak mempunyai peluang untuk menang dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

"Bagi saya, sekiranya masyarakat Cina mahukan wakil mereka berada dalam kerajaan, mereka perlu beri sokongan pada Gerakan.

"Kerana bukan saya nak sebut, tapi rata-rata rakyat sudah tidak lagi yakin tentang kemampuan PH terutamanya orang Melayu.

"Tanpa sokongan orang Melayu kepada PH, saya tak nampak PH akan memerintah di Melaka. Sebab itu kalau masyarakat bukan Melayu sudah melihat orang Melayu tidak lagi memilih PH sebagai pilihan mereka, maka untuk masyarakat bukan Melayu berduyun-duyun mengekalkan atau memberi sokongan kepada pH, itu tidak strategik kerana tanpa sokongan orang Melayu, PH akan jadi pembangkang," kata Rafiq kepada Malaysiakini dalam satu wawancara.

Rafiq mendakwa kedudukan orang Melayu telah "terancam" ketika PH memerintah.

Katanya, masyarakat bukan Melayu perlu mempunyai wakil dalam exco kerajaan negeri untuk menghadiri perkara berkaitan kepentingan mereka yang dibincangkan dalam mesyuarat exco.

"Amat rugi kalau masyarakat bukan Melayu tidak ada wakil dalam exco kerajaan negeri kerana banyak pembangunan, keputusan libatkan masyarakat bukan Melayu ini perlu diperjuangkan, dibela dalam mesyuarat kerajaan negeri," katanya.

Di Melaka, PN dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan. Keahlian Gerakan, yang dahulunya merupakan parti komponen BN, terbuka kepada semua kaum tetapi parti itu diketahui ramai berasaskan masyarakat Cina.

Gabungan utama lain yang bersaing untuk merebut kerusi dalam PRN Melaka ialah BN, yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC serta Harapan terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP.

'Orang Melaka mempunyai pilihan ketiga'

Menurut Rafiq, PN memperjuangkan sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan majoriti mudah - tetapi ia berharap rakyat Melaka memberi lebih banyak kerusi kepada PN untuk memastikan kestabilan politik di negeri itu.

Buat pertama kali dalam pilihan raya DUN kali ini, Rafiq berkata, rakyat Melaka mempunyai pilihan ketiga.

"Sejak merdeka, rakyat Malaysia hanya mempunyai dua gabungan politik untuk dipilih. Di satu pihak, mereka mempunyai BN yang dipimpin oleh Umno, dan satu lagi pembangkang dengan DAP di dalamnya.

"Jadi mereka tidak ada pilihan lain. Mereka yang tidak suka DAP perlu mengundi BN, begitu juga sebaliknya. Suka atau tidak, mereka perlu memilih satu atau yang lain jika mereka mahu mengundi.

"Tetapi buat pertama kalinya, mereka yang tidak suka PH tetapi juga tidak mahu mengundi BN, mereka mempunyai gabungan lain untuk dipilih," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS