Biarkan saya pergi, kata bekas pengerusi DAP Sabah
Bekas Pengerusi DAP, Sabah Jimmy Wong menggesa pemimpin DAP pusat menerima keputusannya meletak jawatan dan meninggalkan parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Melalui Facebook, Wong mengulas kenyataan timbalan setiausaha agung DAP, Teresa Kok semalam yang menggesa dia mempertimbangkan semula keputusan itu yang dibuat selepas tiga ahli parlimen Sabah tewas secara mengejut dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.
Wong mengingatkan Kok dan pemimpin DAP mengenai usahanya memimpin parti itu di Sabah dan menyumbang kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 apabila berjaya membentuk kerajaan negeri pimpinan Warisan.
"Misi saya untuk DAP telah selesai dan habis selepas PRU14 [...] Jadi masanya telah tiba untuk mengetuai misi baru yang mustahil untuk rakyat Sabah," kata Wong.
“Saya dengan ini merayu kepada pemimpin pusat DAP supaya memberi peluang baru kepada kumpulan pemimpin yang berdedikasi tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah.
"Tolong lepaskan kami dan marilah kita mulakan kehidupan baru untuk berkhidmat dan menyayangi rakyat Sabah dengan sebaik mungkin, cara pemimpin kita berfikir sesuai dengan cara dan impian kita yang bebas," katanya.
Mengucapkan terima kasih kepada Kok dan pemimpin DAP atas pengiktirafan terhadap usahanya selama ini, Wong menegaskan dia juga tidak akan melupakan sumbangan parti itu untuk rakyat Sabah.
“(Tetapi) sekali lagi, tolong lepaskan saya dan biarkan saya pergi,” katanya.
Wong semalam membidas kepimpinan baru negeri yang baru kerana dikatakan bermain politik dengan pihak yang kalah berbanding mengambil pendekatan inklusif.
Ini dikatakn mengakibatkan kekalahan nama-nama besar seperti Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Adun Kepayan yang juga Ketua Wanita DAP negeri, Jannie Lasimbang, bekas senator Adrian Lasimbang, serta Adun Elopura, Calvin Chong.

