Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muda gesa PRN Sarawak dibuat lepas Undi18 dikuat kuasa
Diterbitkan:  Nov 24, 2021 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) menggesa agar pilihan raya negeri (PRN) Sarawak diadakan selepas pendaftaran automatik pengundi baru dan Undi18 berkuat kuasa pada Januari 2022.

Muda Sarawak mencadangkan supaya pilihan raya negeri diadakan pada 2 Jan.

“Adalah diketahui bahawa PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat pengisytiharan darurat pada 3 Nov.

“Jawatankuasa eksekutif Muda Sarawak ingin menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 2 Jan selepas Undi18 dilaksanakan,” kata Ketua Muda Sarawak Jeffery Ngui dalam surat kepada Pengarah SPR Sarawak Jasni Jubli semalam.

Jeffery berkata ini membolehkan 135,000 pengundi baru berumur antara 18 dan 20 tahun untuk membuang undi pada PRN akan datang.

“Jika pengundian diadakan sebelum Undi18 berkuat kuasa, ia seolah-olah menidakkan hak pengundi muda dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka kerana mereka perlu menunggu lima tahun lagi sebelum mereka boleh mengundi.

"Selain itu, pendaftaran pengundi secara automatik dijangka dikuatkuasakan tahun ini. Ini menekankan lagi pentingnya pilihan raya diadakan tahun depan supaya ratusan ribu pengundi baharu boleh mengundi," katanya.

Ngui juga menyatakan bahawa pilihan raya negeri mungkin menyebabkan lonjakan kes Covid-19, sama seperti PRN Melaka baru-baru ini.

"(Kita mungkin) melihat trend penurunan kes Covid-19 jika pengundian diadakan tahun depan kerana wabak itu akan lebih terkawal," katanya.

Dengan Sarawak terus merekodkan tiga digit kes baru Covid-19 setiap hari, dia menimbulkan kebimbangan bahawa PRN akan datang mungkin menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah.

"Ini akan menjejaskan sistem demokrasi negara di mana ia akan mewujudkan perwakilan yang tidak sama rata di mana minoriti memilih pemimpin bagi pihak majoriti. Ini sangat tidak sihat untuk sistem demokrasi negara," katanya.

Tiada maklum balas daripada SPR

Sementara itu, Ketua Penerangan Muda Sarawak Afiq Khatem berkata surat Ngui telah diserahkan kepada SPR Sarawak semalam.

“Pada 14 Nov, kami menghantar e-mel kepada SPR Sarawak untuk mendapatkan janji temu dengan mereka, ingin menyampaikan suara belia yang mungkin tidak dapat mengundi kerana Undi18 belum berkuat kuasa,” katanya.

Afiq berkata Muda Sarawak mengunjungi ibu pejabat SPR di Kuching kerana tidak mendapat sebarang maklum balas daripada suruhanjaya itu.

Dewan Undangan Negeri Sarawak sepatutnya dibubarkan secara automatik pada 7 Jun berikutan tamat tempohnya, tetapi PRN digantung kerana darurat di seluruh negara untuk memerangi Covid-19, yang berakhir pada 1 Ogos.

Darurat setempat telah diisytiharkan untuk Sarawak dari 2 Ogos hingga 2 Feb 2022, tetapi ia telah ditarik balik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 3 Nov.

Ia membuka jalan kepada PRN Sarawak yang telah lama tertangguh, yang kini mesti diadakan dalam tempoh 60 hari mulai 3 Nov.

Bulan lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata had umur mengundi rakyat Malaysia akan diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun mulai 1 Jan 2022.

Lihat Komen
ADS