Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit ujian kendiri Covid-19 kini serendah RM4.90
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 5:46 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Kit ujian kendiri Covid-19 kini boleh didapati pada harga serendah RM4.90 seunit.

Penjualan kit ujian pada harga berkenaan boleh didapati di kedai rangkaian serbaneka 99 Speedmart.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang gembira dengan inisiatif itu berkata kerjasama peniaga amat dihargai bagi bersama-sama membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha mengawal dan menurunkan jumlah kes Covid-19 di negara ini.

"Saya berharap lebih banyak premis akan mengambil langkah yang sama dalam waktu terdekat," katanya dalam catatan di laman Facebook beliau sempena perasmian pembukaan cawangan ke-2,000 99 Speedmart di Puncak Sentul, Kuala Lumpur dan Kempen Pelancaran Beli Barangan Malaysia yang disempurnakan Nanta hari ini.

Nanta berkata pembukaan pelbagai sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian menjadikan kit ujian kendiri Covid-19 keperluan bagi setiap isi rumah.

“Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik agar semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap,” katanya.

Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi kit berkenaan pada harga RM19.90 seunit dan harga borong RM16 seunit, berkuat kuasa 5 Sept lepas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membenarkan 7,302 premis di seluruh negara seperti pasar raya dan kedai rangkaian untuk menjual kit ujian kendiri Covid-19 yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) .

Sebelum ini, kit ujian kendiri Covid-19 yang menerima kelulusan bersyarat daripada MDA dijual di klinik dan premis farmasi yang terpilih sahaja.

- Bernama

Lihat Komen
ADS