Ku Li: Tak perlu pertemuan kedua Pak Lah-Dr M
Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pertemuan kedua antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu diadakan jika Perdana Menteri terus enggan mendengar teguran dari bekas Perdana Menteri itu.
Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pertemuan kedua antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu diadakan jika Perdana Menteri terus enggan mendengar teguran dari bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, sikap Abdullah yang tidak mempedulikan kritikan Dr Mahathir selama ini menyebabkan hubungan mereka sukar dipulihkan.
" Pertemuan kali kedua tidak perlu diadakan jika sikap mereka tidak berubah. Pak Lah tidak peduli langsung dengan apa yang dicakapkan Dr Mahathir sedangkan bekas Perdana Menteri berhak bersuara dan mahu pandangan serta pendapatnya diambilkira.
"Jika itu sikap Pak Lah, tak perlu lagi ada perjumpaan kedua dengan Dr Mahathir. Tapi....walau apapun, terpulanglah kepada mereka berdua," kata bekas Menteri Kewangan itu ketika ditemui di majlis Aidilfitri Datuk Ibrahim Ali di ibu negara malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah perlu Abdullah dan Dr Mahathir bertemu sekali lagi setelah pertemuan pertama di Putrajaya pada 22 Oktober lalu gagal memulihkan hubungan mereka berdua.
Tengku Razaleigh berkata, sepatutnya Abdullah dan kerajaan mendengar dan memberi pertimbangan sewajarnya kepada pandangan semua pihak.
" Betul atau tidak kata-kata Dr Mahathir itu terpulang kepada kerajaan untuk menentukannya tetapi mereka perlu memberi peluang kepadanya untuk bersuara, tambahan pula sebahagian besar ahli kabinet yang ada hari ini adalah orang-orang yang dipilih oleh Dr Mahathir.
"Tidak ada sebab Pak Lah tak boleh memberi perhatian terhadap persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu kerana beliau adalah bekas Presiden Umno dan bekas Perdana Menteri, seorang negarawan negara," katanya lagi.
Sementara itu, Tengku Razaleigh enggan mengulas sama ada beliau akan bertanding lagi merebut jawatan Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.
Katanya, adalah terlalu awal untuk mengumumkan perkara itu kerana pemilihan jawatan dalam Umno akan diadakan kira-kira dua tahun lagi.
Tengku Razaleigh pernah mencabar Dr Mahathir dalam pemilihan jawatan Presiden Umno pada 1987 tetapi kalah dengan majotiti tipis. Selepas Umno diharamkan, beliau menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 sebelum kembali ke pangkuan Umno selepas parti baru itu dibubarkan.
Pada pemilihan parti 2004, beliau menawarkan dirinya untuk mencabar Abdullah bagi jawatan Presiden Umno tetapi gagal kerana tidak mendapat pencalonan yang cukup iaitu 30 peratus dari 191 bahagian Umno di seluruh negara.
Pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun depan ditangguhkan selepas pilihanraya umum akan datang.

