Kjaan mungkin kaji semula harga runcit minyak
Harga runcit petroleum mungkin dikaji semula jika harga bahan bakar itu terus turun di pasaran dunia sehingga di bawah paras AS$50 setong tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Harga runcit petroleum mungkin dikaji semula jika harga bahan bakar itu terus turun di pasaran dunia sehingga di bawah paras AS$50 setong tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Katanya, kerajaan tidak nampak mengapa harga itu tidak boleh dikaji semula berdasarkan perkembangan semasa yang perlu disesuaikan mengikut perkembangan global.
Bagaimanapun, katanya, harga sekarang yang turun pada kadar AS$60 setong, tidak perlu dikaji semula kerana kerajaan masih lagi menanggung beban subsidi bahan itu yang sangat besar.
"Bagaimanapun, kalau harga itu terus turun lagi (di bawah paras AS$50 setong) sesuatu yang boleh dikaji semula," katanya kepada pemberita di Bachok, Kelantan semalam.
Menurut laporan Bernama, Awang Adek yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok, sebelum itu menerima 43 borang untuk menyertai Umno cawangan itu yang sebilangan besarnya terdiri daripada golongan pemuda.
Rangsang ekonomi
Mengenai kenyataan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bahawa Malaysia terus mencatat pertumbuhan ekonomi kukuh dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDN) berkembang pada kadar enam peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 5.3 peratus tempoh yang sama tahun lalu, beliau berkata ia satu petanda yang baik.
Katanya, ini terutama untuk merangsang ekonomi yang lebih tinggi lagi pada masa depan daripada pelbagai sektor secara menyeluruh, termasuk perkhidmatan, pembuatan dan sektor pertanian yang kini menunjukkan arah perkembangan yang positif.
Menurutnya, ia juga perlu disokong peningkatan secara berterusan oleh pasaran saham yang semakin menggalakkan berikutan pembelian saham pelabur tempatan dan luar negara berikutan peningkatan saham di rantau Asia.
Katanya, ekonomi negara juga akan mendapat manfaat daripada susasana dunia yang tenteram sekarang.

