Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Amanah buat 'flash mob', gesa k'jaan tangani kenaikan harga barang

Pemuda Amanah dan biro mobilisasi parti itu turun ke jalan raya hari ini untuk melakukan flash mob di 14 lokasi di seluruh negara bagi menyuarakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan keperluan asas.

Flash mob itu diadakan secara rentak kira-kira pada jam lima petang tadi termasuk di sekitar kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur, yang disertai kira-kira 20 orang diketuai Adun Taman Templer Sany Hamzan.

Menerusi siaran langsung di laman Facebook media rasmi Amanah Malaysia Dateline, beberapa anggota polis dilihat menyuarakan kumpulan kecil perserta kira-kira selepas 20 minit.

Polis juga dilihat meminta para peserta menunjukkan MyKad sebelum mereka dibenarkan beredar.

Ketika dihubungi, Sany berkata mesej utama mereka adalah agar kerajaan mengambil tindakan segera bagi menurunkan harga barangan keperluan.

"Apabila harga ayam, sayur, ikan dan bahan lain naik, secara automatik harga makanan (di kedai makan) juga akan naik.

"Pastinya ini beri kesan seirus kepada rakyat yang masih bergelut untuk pulih daripada impak kewangan akibat wabak Covid-19," katanya kepada Malaysiakini.

Selain daripada di Sogo, Sany berkata flash mob turut diadakan di satu lokasi di setiap negeri.

Katanya, Pemuda Amanah juga akan mengiringi sekumpulan individu untuk menghantar memorandum di Parlimen pada 30 Nov ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan berkata situasi yang buruk menyebabkan mereka turun ke jalan raya.

"Kita mengadakan flash mob di seluruh negara ini walau kita tahu bilangan kes Covid-19 masih tinggi dan himpunan awam untuk protes adalah sesuatu yang harus dielakkan.

"Tetapi kita terpaksa untuk melakukannya dan InsyaAllah kita akan ikut semua SOP. Kenapa? Sebab keadaan sekarang terlalu teruk," katanya kepada Malaysiakini.

Nik Razak mendakwa kerajaan seperti tidak tahu cara untuk menurunkan harga barangan.


Baca: 'Lagi mahal dari daging' - Pekebun sayur rayu kerajaan bantu


"Walhal merekalah yang ada kuasa untuk campur tangan," katanya lagi.

Dia juga mengaitkan keadaan sekarang dengan dasar kerajaan yang menurutnya lemah - termasuk dalam soal pembukaan semula perniagaan selepas perintah kawalan pergerakan dan pengambilan pekerja asing - yang boleh memberi kesan kepada harga barang dan perkhidmatan.

"Itu belum ambil kira faktor ekonomi daripada perspektif tukaran mata wang antara ringgit dengan dolar AS, semuanya berkaitan secara langsung dengan kecekapan dan kejayaan dasar kerajaan," katanya.

Hari ini bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bertanya jika Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi sedia untuk letak jawatan jika dia gagal menangani kenaikan harga, termasuk sayuran yang menyaksikan kenaikan lebih dua kali ganda.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini membangkitkan kebimbangan selepas mendapati harga sejumlah sayuran meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Menurut CAP, harga sawi pendek meningkat daripada RM3 kepada RM9 per kg, harga brokoli naik daripada RM8 kepada RM20 per kg, dan harga kubis bunga naik daripada RM7 kepada RM16 per kg.

Lihat Komen
ADS