Malaysia dan Indonesia akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mengawal pembakaran terbuka dalam industri perladangan minggu depan sebagai usaha menangani masalah jerebu.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin Fah Kui, MoU itu membabitkan kementeriannya dengan Kementerian Pertanian Indonesia.

"MoU itu adalah komitmen jangka panjang kedua-dua negara berkaitan isu ini," katanya kepada pemberita di Kuching malam tadi.

Mengenai dakwaan bahawa syarikat Malaysia terbabit dalam melakukan pembakaran terbuka di Selatan Kalimantan dan Sumatra di Indonesia, Chin berkata, sehingga ini, tiada jawapan rasmi dari kerajaan Indonesia mengenai perkara itu dan beliau percaya dakwaan itu dilakukan oleh NGO di sana.

Menurut laporan Bernama, Chin berkata, beliau sendiri ingin tahu syarikat perladangan mana yang didakwa terbabit, namun tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan tiada jawapan rasmi diterima kementeriannya sehingga hari ini.

Kebakaran terbuka

Bulan lalu, beberapa akhbar melaporkan terdapat 34 syarikat Malaysia yang beroperasi di Selatan Kalimantan dan Sumatra.

Sebelum itu, beliau menghadiri majlis menandatangani perjanjian pinjaman mudah antara syarikat milik kerajaan, Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB) dan syarikat pembalakan yang berpusat di Sarawak, Ta Ann Holding Berhad untuk program penanaman hutan.

Dalam ucapannya, Chin berkata 36 syarikat telahpun mengemukakan permohonan untuk dimasukkan ke dalam fasa pertama program perladangan hutan.

Katanya, lebih banyak perjanjian akan dimeterai sebelum akhir tahun ini membabitkan syarikat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi mencapai sasaran kerajaan untuk mengagihkan pinjaman awal RM200 juta yang diluluskan untuk membiayai sehingga 12,000 hektar ladang hutan bagi tahun 2006 dan 24,000 hektar lagi untuk tahun 2007 serta 2008.

Chin berkata, kerajaan berusaha dengan agresif ke arah meningkatkan keluasan ladang hutan di negara ini daripada 270,000 hektar ketika ini kepada 500,000 hektar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata FPDSB dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan peruntukan awal RM200 juta yang disediakan oleh kerajaan dalam bentuk pinjaman mudah kepada agensi dan syarikat yang layak.