Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi haji kekal kecuali untuk jemaah yang menolak
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 8:32 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Jemaah haji Malaysia akan diberikan subsidi untuk menunaikan ibadah rukun kelima Islam itu kecuali bagi individu yang menolaknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Idris Ahmad berkata setakat ini subsidi berkenaan akan diteruskan seperti biasa namun menyatakan keputusan muktamad mengenainya belum dibuat.

Katanya hal itu akan diputuskan selepas dibawa ke mesyuarat kabinet dan dimuktamadkan.

Menurut Idris memang setiap tahun Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membuka ruang kepada bakal jemaah enggan mendapat subsidi iaitu dalam kalangan mereka yang pergi ke Tanah Suci melalui pakej swasta.

Pun begitu kata naib presiden PAS berkenaan, jumlah mereka tidaklah ramai.

“Tabung Haji memang setiap tahun akan buka permohonan untuk bakal jemaah yang tidak mahu mengambil subsidi melalui pakej dikendalikan agensi swasta, tetapi jumlahnya tidak ramai.

“Justeru, setakat ini, begitulah, (subsidi) diteruskan sebagaimana biasa sebelum isu Covid-19 timbul tahun lepas, namun perkara muktamad itu belum lagi dibincangkan oleh kabinet,” katanya seperti dipetik Utusan Online di Sepang, Selangor hari ini.

Pada 27 Nov lalu kerajaan menyatakan kos menunaikan haji dijangka meningkat lebih 50 peratus berikutan cukai nilai tambah (VAT) yang diperkenalkan Arab Saudi naik kepada 15 peratus mulai Julai tahun lalu.

Kadar VAT sebelum itu ialah hanya lima peratus.

Ekoran itu kata Timbalan Menteri di JPM, Ahmad Marzuk Shaary, kenaikan tersebut menyebabkan kos menunaikan haji bertambah menjadi lebih RM30,000 seorang berbanding sebelum ini RM23,000.

Jumlah tepat kos tersebut, akan diketahui awal tahun hadapan.

Ahmad Marzuk juga berkata Tabung Haji akan menanggung sebahagian daripada jumlah kos tersebut namun kadar sebenar belum putuskan. 

Kata Idris biasanya jumlah jemaah haji yang tidak mahu menerima subsidi kerajaan itu hanyalah kurang daripada 20 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah Malaysia setiap tahun.

Menurutnya mereka adalah individ yang sedia membayar lebih berbanding apa yang ditawarkan oleh kerajaan.

Pada masa sama senator terbabit tidak mahu mendedahkan jumlah sebenar kos ibadah haji berkenaan kerana belum lagi mendapat taklimat daripada Tabung Haji untuk dibentangkan ke mesyuarat kabinet.

“Insya-Allah saya akan umum dalam masa terdekat nanti selepas mesyuarat jemaah menteri bersetuju dengan kadar baru tetapi buat masa ini, subsidi kekal untuk semua,” katanya. 

Lihat Komen
ADS