Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri sahkan golongan 18-20 tahun tak boleh mengundi dalam PRN Sarawak
Diterbitkan:  Dec 2, 2021 2:20 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan bahawa golongan berusia 18 hingga 20 tahun tidak boleh mengundi dalam PRN Sarawak yang bakal diadakan,

Ini di sebalik pindaan Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi serta pendaftaran pengundi automatik akan berkuat kuasa 15 Disember, iaitu tiga hari sebelum hari mengundi PRN Sarawak.

Wan Junaidi menjelaskan PRN Sarawak akan menggunakan daftar pemilih pilihan raya yang dikemas kini pada 2 November.

"Keputusan ini adalah berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching, dan bukannya untuk menafikan atau mengetepikan hak dan hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.

"Saya ingin menjelaskan bahawa tiada desakan dari mana-mana pihak dalam isu ini.

"Malah, Sarawak semenangnya sudah bersedia untuk menerima pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap isu ini janganlah dipolitikkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi merupakan pemimpin dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan gabungan yang mentadbir negeri itu.

PRN Sarawak sepatutnya dilaksanakan pada pertengahan tahun ini tetapi ditangguhkan setelah darurat dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Darurat itu pada mulanya dijadual tamat pada Februari 2022, memberi harapan kepada golongan berusia 18 hingga 20 tahun untuk turut serta memilih kerajaan negeri baru.

Namun ia dibatalkan awal bulan ini - langkah yang dikritik sesetengh pihak sebagai menafikan penyertaan golongan itu dalam PRN.

Lihat Komen
ADS