Arah aliran ekonomi negara semakin merosot sejak 10 hingga 15 yang lalu akibat daripada dasar-dasar kerajaan yang tidak efisyen, dakwa bekas Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam, Dr Lim Teck Lee.

"Pemimpin kita membina satu struktur yang tidak efisyen melalui beberapa jenis dasar seperti pengswastaan, pelan induk industri, dasar automatif negara dan banyak lagi," katanya dalam satu forum Sabtu lalu.

"Semua projek raksasa ini mengandungi kelemahan rekabentuk dan pelaksaan yang serius serta kos 'bailout' (menyelamatkan syarikat) yang besar masih lagi berterusan," katanya.

Lim adalah salah seorang ahli panel forum "Masa Depan Ekonomi Malaysia" anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang pada 25 November lalu. Ahli panel lain ialah ahli akademik P Ramasamy dan Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Lim berkata, ekonomi negara kini berada di persimpangan jalan dengan kerajaan mengambil satu langkah ke hadapan dan pada masa yang sama dua langkah ke belakang.

"Dengan semua kelebihan yang kita ada, kita sepatutnya memacu ke hadapan, tetapi hakikatnya kita sedang tidur dan ketinggalan di belakang," katanya.

Semak semula DEB

Menurutnya, terdapat beberapa sebab yang mengapa ekonomi negara tertahan satu daripadanya ialah perasaan selesa dan 'Malaysia Boleh' di kalangan rakyatnya.

"Sejak 1970 hingga 1990, rakyat Malaysia merasakan kadar kemiskinan di negara ini semakin berkurangan, Perkhidmatan awam tidak dipolitikkan dan perkhidmatan kesihatan juga baik. Semuanya dilihat agak baik," katanya.

Menurutnya, kemerosotan faktor 'selesa' di kalangan rakyat dan para pemimpin telah memburukkan lagi keadaan ekonomi.

Beliau juga berkata, walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) mempunyai kebaikannya dalam mengekalkan kestabilan ekonomi, tetapi kerajaan mesti menyemaknya semula atau membaharukan dasar bertindak afirmatif berusia 35 tahun itu.

Matlamat DEB adalah untuk meningkatkan status ekonomi bumiputera untuk mencapai pegangan ekuiti 30 peratus dalam ekonomi negara. Sasaran ekuiti sepatutnya dicapai pada tahun 1990 tetapi pada masa ini ia hanya di tahap 18.9 peratus.

Baru-baru ini, Lim terbabit dalam kontroversi selepas laporan yang dihasilkan oleh Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli), yang mendakwa ekuiti bumiputera itu telah dicapai dan kini berada di tahap 45 peratus.

Felo kanan Institut Kajian Asia Tenggara, P Ramasamy berkata, pemimpin merupakan faktor penyumbang dalam membentuk ekonomi negara.

"Tidak ada ruang untuk kita berbincang secara bebas mengenai DEB kerana ia menjadi semakin berbaur perkauman seperti yang didakwa oleh ahli politik kita dalam media," katanya.

"Bagaimanakah negara menjadi semakin baik sekiranya DEB terus wujud tanpa menangani masalah pemerolehan modal di kalangan orang Melayu dan masalah kemiskinan, tetapi untuk menambah kepentingan golongan elit Melayu, terutama mereka yang ada kaitan rapat dengan Umno?" soalnya.

Kos meningkat

Seorang lagi ahli panel, Tan Sri Khalid Ibrahim menggesa kerajaan supaya mewujudkan 'ekonomi terbuka' kerana arah aliran ekonomi kebelakangan ini tidak memenuhi tuntutan pasaran.

Sebaliknya, tegas beliau, ia hanya memenuhi kepentingan kumpulan tertentu sahaja.

Beliau juga mendakwa, kos untuk berniaga di Malaysia semakin meningkat kerana pelabur asing perlu membayar 'yuran' untuk diperkenalkan kepada kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, pelabur asing terpaksa melalui sistem 'lobi terpilih' dan bukan hubungan langsung dengan kerajaan.

"Katakanlah, jika perdana menteri kita berada di meja perniagaan utama. Jika anda mahu mendapatkan tempat duduk di meja sebelah, maka anda perlu bantuan daripada saluran tertentu dan ini bermaksa, wang," katanya.

"Dan jika ada punya tanah di sini, bagi memastikan fail anda cepat diproses, anda perlu membayar yuran tertentu," tambahnya. Berita asal

Foto oleh Ngu Ik Ying