Penggabungan tiga syarikat ladang bernilai RM31 bilion
Synergy Drive Sdn Bhd, akan mengambilalih tiga syarikat perladangan utama negara, Sime Darby Bhd, Golden Hope Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd dalam satu penggabungan mega bernilai RM31 bilion.
Synergy Drive Sdn Bhd, akan mengambilalih tiga syarikat perladangan utama negara, Sime Darby Bhd, Golden Hope Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd dalam satu penggabungan mega bernilai RM31 bilion.
Menurut kenyataan penasihat kewangan, CIMB Group, Synergy Drive yang ditubuhkan khas olehnya untuk melaksanakan urusniaga korporat tersebut diketuai seorang Pengerusi dan dua ahli pemegang amanah bagi "tujuan kebajikan."
Mereka ialah Tan Sri Md Nor Yusof selaku pengerusi, serta Datuk Zainal Abidin Putih dan Wan Razly Abdullah.
Synergy Drive akan membeli saham-saham sembilan syarikat itu pada premium lima peratus berasaskan kepada harga tutup hari terakhir dagangan sebelum penggantungan setiap kaunter itu pada 23 November.
Menurut laporan Bernama, penggabungan terbesar dalam sejarah korporat Malaysia dan Asia Tenggara ini akan menyebabkan sembilan syarikat awam dinyah senarai dari Bursa Malaysia.
Urusniaga ini dijangka akan diselesaikan menjelang suku keempat tahun ini.
Sementara itu di dalam sidang akhbarnya, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Datuk Nazir Razak (foto kanan) berkata: "Sebaik urusniaga itu diselesaikan, Synergy Drive serta merta akan menjadi sebuah daripada lima syarikat tersenarai terpenting di Malaysia.
Ia akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM31.4 bilion berasaskan kepada modal saham enam bilion saham biasa 50 sen sesaham.
Permodalan Nasional Bhd, pemegang saham utama ketiga-tiga syarikat itu ketika ini, akan memiliki kira-kira 45 peratus daripada Synergy Drive selepas urusniaga itu selesai manakala CIMB akan menyedikan pembiayaan awal bagi penggabungan itu, katanya.
Ditanya sama ada CIMB akan mengambil ekuiti di dalam Synergy Drive, katanya adalah terlalu awal untuk mengulas mengenainya tetapi membayangkan ia mungkin mengambil sebahagian kecil ekuiti berkenaan.
Nazir berkata syarikat-syarikat tersenarai lain yang akan dinyah senarai ialah Sime Engineering Services, Sime UEP Properties, Mentakab Rubber Co (Malaya), Guthrie Ropel dan Highlands & Lowlands.
Mengenai Negara Properties, ia akan diambil alih melalui tawaran am mandatori kerana ia bukan sebuah anak syarikat milik penuh Golden Hope tetapi hanya memiliki 63 peratus daripada syarikat itu.
Syarikat baru itu akan mempunyai tanah ladang keseluruhan seluas 600,000 hektar dengan kapasiti pengeluaran sebanyak sembilan juta tonne metrik tandan buah segar (FFB) dan 2.5 juta tonne metarik minyak sawit atau kira-kira 5-6 peratus daripada pengeluaran global.
Entiti ladang yang digabungkan itu akan mempunyai potensi hasil berjumlah RM26 bilion dan tenaga kerja digabungkan lebih 107,000 orang.
Pada satu acara berasingan, CEO PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, apabila ditanya mengenai penggabungan itu berkata, "saya belum melihatnya (cadangan itu)... biarlah syarikat-syarikat itu selesaikan di pihak mereka terlebih dahulu dan mungkin mereka selepas itu (boleh) datang kepada kami."

