Tsu Koon: Roboh tokong bukan isu kaum dan agama
Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon Koh berkata arahan meroboh tokong Tokong Tou Mu Kung di Bukit Mertajam adalah mengikut prosedur pentadbiran kerana pembinaannya tidak mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon Koh berkata arahan meroboh tokong Tokong Tou Mu Kung di Bukit Mertajam adalah mengikut prosedur pentadbiran kerana pembinaannya tidak mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).
Oleh itu, katanya, tindakan MPSP meroboh tokong itu baru-baru ini bukanlah isu percanggahan atau persengketaan antara kaum atau agama,.
Beliau berkata perobohan tokong itu adalah isu yang berkaitan dengan prosedur pentadbiran yang berkait rapat dengan pembinaan struktur bangunan tanpa kebenaran MPSP.
Dr Koh berkata, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah juga akan memberi penjelasan yang sama bahawa arahan meroboh tokong itu mengikut prosedur pentadbiran kerana ia dibina tanpa kebenaran MPSP.
"Janganlah jadikan perkara ini sebagai isu sengketa antara agama atau kaum. Oleh kerana perkara ini berlarutan menjadi isu, kerajaan negeri mahu semua pihak bertenang dan kita akan selesaikan," katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang hari ini.
Menurut laporan Bernama, Dr Koh mengulas memorandum yang diserahkan oleh setiausaha DAP negeri, Danny Law Heng Kiang kepada Abdul Rashid di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Memorandum itu antara lain meminta penjelasan Abdul Rashid yang didakwa memberi arahan supaya MPSP merobohkan bangunan tambahan tokong itu.
Tiada jawapan
Dr Koh berkata, selain menasihatkan semua pihak supaya bertenang, kerajaan negeri turut menasihatkan jawatankuasa tokong supaya menimbangkan cadangan berpindah ke tempat lebih sesuai.
Katanya, pada 2000, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Khas Rumah Ibadat Bukan Islam telah mengarahkan MPSP supaya mensyaratkan pemaju yang memiliki tanah itu menyediakan tapak lain kepada tokong berkenaan, tetapi pemaju tidak memberi sebarang jawapan.
Berdasarkan laporan MPSP, polis dan dua Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan serta Lau Chiek Tuan, terdapat persengketaan antara pemaju dan jawatankuasa tokong selepas pemaju membeli tanah tapak tokong itu pada 1997. Tokong itu dibina di atas sebahagian daripada tanah pemaju itu sejak 1985.
Koh berkata disebab kegagalan itu, permohonan pemaju membangunkan tanah itu pada tahun 2002 ditolak MPSP dan pemaju kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah terhadap tokong itu yang menyebabkan ia berpindah dari tapak asal ke tapak bersebelahan pada Jun 2003.
"Sejak itu ada permusuhan antara pemaju dengan jawatankuasa tokong dan menimbulkan pelbagai aduan terhadap tokong yang dibina di tapak baru itu, kerana tapak itu ada masalah dari segi kegunaannya dan bukan untuk tokong, ia di tepi jalan besar dan keadaannya rumit," tegas beliau.
Beliau berkata banyak pihak membuat aduan berhubung perkara itu dan MPSP juga menghantar banyak notis kepada jawatankuasa tokong supaya merobohkan bangunan tokong itu.
"Melalui penjelasan ini, adalah jelas isu perobohan tokong itu tiada kaitan langsung dengan isu persengketaan antara agama dan kaum," katanya.

