Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes SRC: Semua bukti relevan telah dikemuka di mahkamah - pendakwaan

Pihak pendakwaan berhujah bahawa tiada bukti baru yang diperlukan dalam permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman terhadapnya, dalam kes rasuah RM42 juta SRC International.

Menerusi afidavit untuk membantah permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru, timbalan pendakwa raya Budiman Lutfi Mohamed mendakwa semua bukti yang ada telah pun dibawa ke Mahkamah Tinggi yang mendengar kes Najib, serta Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuannya.

Budiman mendakwa bukti baru yang ingin dikemukakan Najib tidak relevan dalam ke tersebut.

Dia juga menyangkal dakwaan pembelaan bahawa pendakwaan ada menyembunyikan sebarang bukti yang relevan dalam kes tersebut.

"Saya menyatakan bahawa semua keterangan yang ada telah dikemukakan untuk penentuan Mahkamah Perbicaraan dan Mahkamah Rayuan dan tidak ada keterangan baru diperlukan untuk penyelesaian kes ini secara adil.

"Saya seterusnya menyatakan bahawa permohonan ini gagal untuk menunjukkan wujudnya apa-apa hal keadaan yang luar biasa untuk membenarkan pengemukaan keterangan baru sebelum keputusan bagi rayuan jenayah tersebut pada 8 Disember ini.

"Pihak pendakwaan menyatakan bahawa rayuan ini bertujuan melambatkan keputusan bagi rayuan jenayah tersebut, dengan membuka semula keseluruhan kes dan perkara ini adalah nyaa daripada perintah yang dipohon dan kesan perintah tersebut," katanya.

"Saya menafikan pihak pendakwaan telah menyembunyikan fakta yang relevan kepada pertuduhan semasa pengendalian perbicaraan atau pendengaran rayuan di mahkamah yang mulia ini," katanya lagi.

Afidavit itu sebagai respons kepada permohonan Najib yang dibuat pada 2 Disember lalu.

Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikan keputusannya berhubung permohonan Najib untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya, pada 8 Disember ini.

Mahkamah Rayuan juga telah menetapkan untuk mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru itu esok.

'Untuk melambatkan keputusan'

Dalam afidavitnya, Najib antara lain mendakwa bukti yang relevan untuk pembelaannya disembunyikan daripada pasukan peguamnya ketika perbicaraan.

Antara apa yang disifatkan bukti baru yang ingin dikemukakan Najib adalah yang berkaitan dengan perbankan Singapura dan maklumat kewangan keluarga bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz.

Najib juga memohon untuk mengemukakan keterangan viva voce Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein dan beberapa lagi saksi lain.

Tawfiq Ayman dan Zeti Akhtar Aziz

Dia berkata ia susulan pendedahan SPRM bahawa Singapura telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta dana berkaitan 1MDB yang melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq Ayman - suami kepada bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Namun Budiman berkata yang permohonan itu adalah untuk melambatkan Mahkamah Rayuan daripada menyampaikan keputusan rayuan Najib, yang dijadual dibuat pada Rabu ini.

"Permohonan ini difailkan pada waktu yang disengajakan dan bukan disebabkan oleh pengungkaian kejadian berikutan.

"Zeti telah ditawarkan kepada pemohon (Najib) semasa akhir kes pendakwaan untuk dipanggil sebagai saksi pembelaan. Namun pemohon memilih untuk tidak memanggilnya untuk memberi keterangan atau untuk ditemu duga untuk tujuan dipanggil sebagai saksi untuk membuktikan kes pembelaan.

"Pemohon telah mengambil masa lebih kurang 11 bulan dan beberapa hari sebelum tarikh Mahkamah Rayuan dijadualkan untuk memberi keputusan...

"Kelewatan ini dan permohonan untuk mengemukakan keterangan yang tidak relevan tetapi dikatakan sebagai keterangan baru kepada pertuduhan menunjukkan permohonan ini mala fide (berniat buruk)," katanya lagi.

Pada 27 November lalu, Najib membuat laporan polis dengan mendakwa ada pihak menyembunyikan bahan bukti membabitkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.

Dia berkata tidak dapat mendedahkan nama individu terbabit namun mendapat tahu mereka yang terlibat merupakan individu yang dilantik ke Jabatan Peguam Negara dan SPRM semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Dua hari sebelum itu, Tommy Thomas berkata siasatan SPRM terhadap Zeti dan suaminya tidak sempat diselesaikan sepanjang dia menjadi peguam negara, bermula Jun 2018 hingga Februari 2020.

Lihat Komen
ADS